TOP-UP UNTUK SEMUA

TOP-UP UNTUK SEMUA
Klik pada gambar untuk sertai kami dan nikmati penjimatan top-up, bayaran bil telefon, bil Astro dan bil utiliti terpilih.

Saturday, June 27, 2015

PR, sekelumit pandangan saya.

BILA disebut pecahnya Pakatan Rakyat yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum PRU 13, media benteng Barisan Nasional BN secara berterusan menampilkan isu hududlah antara penyebab utama. Pertelagahan terbuka antara PAS dan DAP diperbesar hingga sekecil-kecil krisis diperbesar dan diputar belit sehingga begitu mengelirukan.

 

Peranan dan tugas benteng-benteng UMNO dan BN tentunya mudah, pecahkan kesatuan PR. Semua pihak faham dan mudah terima percaturan itu. Saya tidak berminat untuk menyalahkan UMNO dan BN kerana situasi dalam perlawanan tentunya sedaya mampu pecahkan kekuatan lawan. Itulah yang diusaha dan diikhtiarkan oleh pendokong dan penyokong BN.

 

Apa yang bermain di minda saya hanyalah satu, di mana komitmen pimpinan PR secara keseluruhan dalam mengotakan janji-janji mereka kepada rakyat dalam menawarkan PR sebagai satu pakatan harapan rakyat? Isu hudud begitu dilihat oleh rakyat tiada kesepakatan yang mampu ditampilkan oleh pimpinan-pimpinan PR. Walhal sering dicanan PR dibentuk atas dasar “bersetuju untuk tidak bersetuju”.

 

Dalam isu hudud ini, bukankah telah diketahui ia amat rapat dengan jalur perjuangan PAS? Bahkan saya cukup yakin betapa DAP cukup sedar hakikat tersebut.

Cuba kita renung sejenak dalam ucapan pimpinan DAP semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR pada 12 Januari 2013, ikrar dilaungkan betapa mereka tidak akan mengulangi krisis dalam mendepani perbezaan idiologi bagi mengukuhkan PR menentang BN. Janji tersebut seolah-olah mereka mampu mengatasi sikap yang membawa perpecahan Barisan Alternatif BA berkaitan dokumen Negara Islam.

 

Begitu pula dalam siri-siri debat antara pimpinan DAP dan MCA, DAP digambarkan terbuka berkaitan hudud asal itu kehendak rakyat. Digambarkan keterbukaan DAP dalam isu hudud sedia akur bila itu yang dikehendaki rakyat dalam amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.

 

Malang, isu ini tidak mampu diurus sebaiknya oleh pimpinan PR bila Kelantan mengadakan pindaan pada Enakmen 1993 atas mandate diberi rakyat yang kemudian dibawa untuk dikemukakan di Parlimen.

 

Jelas apa yang berlaku kini menggambarkan PR sekarang bukan lagi PR yang dahulu. Keputusan Muktamar PAS 2009 tentu sukar lagi dipertahan dalam PR.

 

Dalam situasi sekarang, saya menaruh harapan untuk tindakan-tindakan berikut diambilkira oleh pimpinan utama PAS dan para pendokong Islam demi meletakkan Islam pada tempatnya:

 

i)                   Pulihkan persaudaraan di dalam PAS yang selama ini begitu utuh dan tercalar dek pelbagai krisis dalaman.

 

ii)                 Berikan perhatian sewajarnya harapan orang bukan Islam melalui ucapan wakil DHPP yang inginkan ulama dalam PAS menampilkan sikap dan akhlak Islam khususnya dalam mendepani pelbagai aduan fitnah, tomah dan saling menuduh antara ahli, pendokong dan penyokong PAS.

 

iii)               Tampilkan sikap bijaksana dan berhemah dalam mengemukakan apa jua berkaitan undang-undang jenayah Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang ada. Manfaatkan kepakaran dalam PAS agar setiap langkahan kita tidak dilihat sumbang.

 

iv)               Kepada mereka yang selama ini menyarakan agar PAS lebih tegas mempertahankan Islam biarpun bersendirian, nah sekarang masanya untuk kalian berkerja bermatian bersama PAS agar Islam benar-benar dapat dilihat rahmat untuk seluruh alam.

 

v)                 Usaha jelmakan Islam di lapangan dengan mengambil tahu setiap permasalahan rakyat dan berusaha membantu menyelesaikan kesulitan rakyat agar Islam tidak hanya dilihat sebagai syarahan, ceramah atau ritorit semata-mata.

 

Cabaran utama yang perlu juga diberi perhatian temrasuklah komitmen kita yang benar-benar bersungguh dalam memperjuangkan ajaran Islam yang didalamnya adanya aqidah, syariat dan akhlak. Ikhlaskan hati bahawa perjuangan ini kerana Allah semata-mata dan bukannya atas permainan dan keuntungan politik semata-mata.

 

Jadikan Ramadhan ini kesempatan kita untuk mendekati Allah S.W.T agar setiap tindak tanduk kita bersesuaian dengan kehendakNYa dan mampu diterima manusia. Sesungguhnya Islam itu fitrah dan manusia mudah untuk merasainya bila ia dijelmakan dengan cara dan kaedah yang dapat diterima dan difahami semua.

 

Terus layari Caknakini sebagai menyokong pengupayaan OKU di Malaysia.

No comments:

Post a Comment