TOP-UP UNTUK SEMUA

TOP-UP UNTUK SEMUA
Klik pada gambar untuk sertai kami dan nikmati penjimatan top-up, bayaran bil telefon, bil Astro dan bil utiliti terpilih.

Thursday, July 2, 2015

Elakkan perpecahan sebelum terlambat

PERNAH terjadi sebaik pembukaan Kota Mekah, Khalid Alwalid diarahkan baginda Rasul Allah S.A.W untuk memerangi satu kaum di pinggir Kota Mekah.

 

Dalam pertempuran tersebut,suku arab tersebut menyerah diri sambil melaungkan kata-kata yang bermakna (Kami berpaling). Mendengarkan laungan tersebut, Khalid Alwalid lantas membunuh mereka kerana menyangkakan mereka berpaling dari Islam.

 

Apa yang dimaksudkan mereka dengan ungkapan “Kami berpaling” ialah meninggalkan pegangan jahiliah dan meyakini aqidah Islam. Kejadian tersebut telah mendatangkan perselisihan antara Khalid AlWalid dan Abdul Rahman bin Auf. Abdul Rahman bin Auf cukup marah dengan tindakan gopoh Khalid AlWalid yang tidak memahami bahasa pertuturan kaum tersebut.

 

 

 

Hal tersebut telah diadukan kepada Rasul Allah S.A.W lalu baginda bersabda yang mafhumnya “Aku berlepas diri dari Khalid AlWalid”. Baginda Rasul Allah S.A.W menyanggahi tindakan Khalid terus mengarahkan Ali Abi Talib menyiasat berapa kematian yang berlaku untuk disempurnakan dhiat.

 

Kisah ini cukup bermakna dalam liku-liku perjuangan Islam. Khilaf, tersalah tafsir dan perselisihan sesame sendiri akan sentiasa berlaku selagi kita bermuamalat sesame insan, hatta sesame sahabat dalam perjuangan. Tentunya peristiwa ini akan sentiasa berulang dalam pelbagai bentuk suasana dan wajah pelaku.

 

Justeru, apa sangat yang sedang dilalui oleh sekalian sahabat yang saya kasihi dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS hari ini? Tentunya berkata-kata itu mudah. Sesiapa yang melihat tidak akan merasa sama apa yang dirasai oleh sipemikul.

 

Namun, siapa pun kita dalam bahtera perjuangan besar ini, peranan kita adalah berusaha sedaya mampu agar bahtera ini mampu menongkah arus, menempuh badai di lautan luas. Apatah lagi sikap seseorang mukmin itu ialah berusaha menyatukan saudaranya yang sedang bertelingkah.

 

Sama ada kita beranggapan apa yang berlaku sebagai penapisan atau sebagainya, apa yang jelas ujian Allah akan sentiasa mendepani kita bagi menilai tahap keimanan kita kepada Nya.

 

Mari kita bersama mengambil pengajaran dari apa yang dikisahkan pada awal catatan ini:

 

1.   Salah faham dan salah mentafsir bahasa itu adalah lumrah dalam hubungan sesama manusia sebagaimana terjadi antara Khalid Alwalid dan suku kabilah arab tersebut. Tentunya seberapa yang dapat, ia perlu diealakkan agar terhindar dari kemudaratan.

 

Demikian pula apa yang berlaku dalam situasi hari ini. Salah mentafsir tidak mustahil berlaku dari apa yang diungkapkan oleh sahabat-sahabat kita dalam jemaah sendiri.

 

Begitu pula salah faham boleh berlaku dengan apa yang diungkapkan oleh rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat. Apa yang ingin siampaikan berbeza apa yang diterima dan difahami.

 

bahkan kata-kata lunak parti yang berterusan memusuhi PAS boleh saja berlaku dan telah pun berlaku. Apatah lagi dalam keadaan parti-parti lawan mempunyai penguasaan media yang lebih luas di samping jentera-jentera kerajaan yang dimanipulasikan sepenuhnya, ia kian menuntut kebijaksanaan kita dalam menilai.

 

2.   Begitu juga pertelingkahan sesama sendiri pasti akan berlaku sebagaimana kejadian yang berlaku di pinggir kota Mekah ini telah membawa kepada pertelingkahan antara Khalid Alwalid dan Abdul Rahman bin Auf.

 

Saya akui, berkata-kata itu cukup mudah dari melakukannya. Perbalahan yang berlaku antara para sahabat tidak berpanjangan. Mereka mampu bersatu dan saling memperakui kesilapan sebaik sedar dari hal yang terjadi.

 

Suasana inilah cukup diharapkan oleh ahli-ahli, penyokong dan pendokong Islam kepada PAS. Jangan dinafikan, pertelingkahan mutakhir ini sedikit berbeza dari apa yang pernah berlaku sebelum ini. Namun rintihan mereka yang berada di bawah perlu didengari oleh pimpinan dan diberi perhatian.

 

3.   Menangani kesilapan sahabat-sahabat Baginda, Rasul Allah S.A.W dengan tidak berlengah lagi mengarahkan Saidina Ali Abi Talib menguruskan bayaran Dhiat kepada keluarga-keluarga muslimin yang dibunuh atau dicederakan.

 

Mengambil semangat apa yang ditunjukkan oleh Rasul Allah S.A.W inilah, amat diharap kepada pimpinan parti agar segera bertindak mendamaikan gelora hati yang bertelingkah dan berselisih.

 

Harapan tinggi kini disandarkan kepada pimpinan parti agar segala yang negetif sejurus sebelum dan sebaik Muktamar ke-61 lalu diusahakan agar dapat dipulih dan dijernihkan. Ombak politik yang merugikan Islam haruslah diikhtiarkan agar dapat dibendung.

 

Secara peribadi, saya amat rasa tidak enak dengan perkembangan mutakhir yang berlaku. Rasa yang sama turut dirasai oleh sahabat-sahabat yang mengimpikan PAS terus utuh sebagai wadah perjuangan Islam di Malaysia ini.

 

Penubuhan sebarang wadah baru sebagai pengganti atau pelengkap kepada peranan PAS perlulah diberi perhatian Sirius. Meskipun alasan boleh diberikan kepada mereka yang menyokong atau menentang penubuhan wadah baru ini, natijahnya tetap akan member kesan kepada kelestarian perjuangan Islam itu sendiri.

 

Sama-samalah kita renung derita rakyat marhaen dari hari ke hari natijah dari kerakusan pemerintah yang tidak kenal akan susah dan sulitnya kehidupan rakyat. Apakah kita sedia untuk terus bertelingkah sekaligus tidak mampu menampilkan pasukan kuat yang dapat menjadi semak dan imbang kepada pemerintah sedia ada?

 

Ambillah kesempatan kita di bulan Ramadhan ini untuk berusaha mencari titik persamaan atas nilai persaudaraan yang dituntut oleh syara’. Perbanyakkanlah doa dan munajat agar setiap dari kita diberi petunjuk dan hidayah yang terbaik buat Islam oleh Allah S.W.T. tanamkanlah di jiwa kita untuk sedia berlapang dada dengan apa jua kemungkinan demi menterjemahkan indahnya Islam itu untuk manfaat setiap insan dan alam seluruhnya.

 

Terus layari Caknakini sebagai menyokong pengupayaan OKU di Malaysia.

 

No comments:

Post a Comment