TOP-UP UNTUK SEMUA

TOP-UP UNTUK SEMUA
Klik pada gambar untuk sertai kami dan nikmati penjimatan top-up, bayaran bil telefon, bil Astro dan bil utiliti terpilih.

Wednesday, November 4, 2015

Perbahasan belanjawan 2016, YB Tuan Guru Presiden PAS

Teks penuh perbahasan belanjawan 2016 oleh Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Yang Berhormat Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Hj. Awang, yang diedit dari hansard Dewan Rakyat, 26 Oktober 2015.

 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya. Sila Yang Berhormat Marang.

 

Bermula 5.23 ptg.

 

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]:

 

1.   Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Membaca doa dan selawat]

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

saya akan sentuh perkara dasar sahaja kerana masa yang sangat terhad. Saya mulakan dengan menyebut Firman Allah SWT yang menjadi dasar dan panduan kepada bajet. Firman Allah SWT... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Maksudnya, “Dan janganlah jadikan tangan mu terbelenggu di leher (bakhil) dan jangan pula terhulur seluasluasnya (boros) dan jangan pula tidak istiqamah (nanti kamu menjadi terduduk dalam keadaan tercela dan kesal). Sesungguhnya Allah melimpahkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki- Nya dan menentukan kadarnya. Sesungguhnya Allah berlaku terhadap hamba-Nya dalam keadaan Maha Mengetahui lagi Maha Melihat.”

 

2.   Inilah petunjuk Allah dalam cara berbelanja yang istiqamah, yang betul bagi individu dan juga negara yang disifatkan oleh Allah menjadi salah satu daripada ciri atau sifat hikmah, kebijaksanaan manusia.

 

3.   Sudah menjadi kebiasaan, pembentangan bajet dikemukakan jumlah hasil dan pendapatan, diikuti peruntukan perbelanjaan yang besar bagi menjana ekonomi negara demi kemajuannya, dengan keselesaan kehidupan rakyat dalam segala aspeknya bersama kelancaran jentera kerajaan. Semua pihak mestilah dalam keadaan selesa adalah kejayaan yang sebenar. Itu sebenarnya yang berjaya. Semua pihak selesa.

 

4.   Bajet tidak mencapai matlamat kalau pihak kerajaan sahaja yang selesa sedangkan rakyat masih menderita dengan masalah mereka belum selesai atau mendatangkan masalah baru yang menimpa kehidupan seperti masalah kemiskinan yang masih ada, kemudahan asas belum dipenuhi dan ditambah inflasi yang membimbangkan kehidupan dalam segala aspeknya, di antaranya ialah kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak boleh ditampung oleh pendapatan yang tidak mencukupi, dan keamanan hidup yang tidak terjamin dengan kadar jenayah yang meningkat atau tidak diatasi, begitu juga kemalangan yang sering berlaku dengan sebab pembangunan yang tidak seimbang.

 

5.   Parlimen menjadi tempat bermuhasabah, sama ada membahaskan yang telah berlangsung untuk menjadi iktibar atau bakal dilaksanakan supaya berhemat dan lebih hikmah.

 

6.   Bagi penganut Islam, diajar beriman, bukan sekadar Wawasan 2020 yang sudah hampir tiba, bahkan yang lebih mencabar lagi menghadapi wawasan akhirat dan adanya perhitungan dosa dan pahala dalam segala aspek urusan hidup bermasyarakat yang tidak dipisahkan daripada Islam yang lebih luas maknanya daripada perkataan ‘agama’ yang difahami oleh pihak yang lain termasuk dalam aspek politik, ekonomi dan pengurusan.

 

7.   Aspek ekonomi pula lebih menjadi penekanan dalam kehidupan duniawi kerana dijadikan laksana berhala yang dipuja oleh semua ideologi dan teori ciptaan manusia, laksana kiblat yang dihadap ketika beribadat. Islam menegaskan aspek ekonomi juga termasuk dalam sebahagian daripada perkara amanah yang besar tanggungjawabnya.

 

8.   Firman Allah SWT... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu secara wajib supaya kamu menunaikan amanah kepada orang yang ahli (boleh melaksanakan amanah dan menerima amanah itu). Dan apabila kamu menghukum di kalangan manusia semuanya, hendaklah berlaku adil. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

 

9.   Rasulullah SAW memberi amaran, apabila amanah dijadikan peluang mendapat habuan diri, keluarga dan kroni, menandakan berlakunya kemusnahan umat. Dalam aspek ekonomi, seseorang itu akan ditanya daripada mana diambil hartanya, bagaimana dia mengambil harta dan bagaimana dan ke mana dia membelanjakannya. Maka, dalam aspek pemerintah negara lebih besar amanah dan persoalan ini.

 

10.                Perkara hasil dan pendapatan wajib diambil kira, bukan sahaja zat barangannya, diambil kira juga cara pendapatannya. Adakah halal dan harus, daripada hasil bumi atau percukaian dan lain-lain termasuk derma, hutang dan sebagainya?

 

11.                Adakah dengan cara yang betul tanpa zalim menipu termasuk juga hasil rasuah dan salah laku cara mendapat hasil, semuanya disoal. Tetap dipersoalkan juga ke mana dibelanjakan dan bagaimana. Adakah mengenai sasarannya yang betul dengan kadar yang tepat atau melebihi sehingga boros maka Allah berfirman, [Membaca sepotong ayat al-Quran]. “Tunaikan terhadap kalangan yang ada hubungan keluarga akan haknya yang sepatutnya dan orang yang miskin dan musafir yang terputus bekalan. Dan jangan sekali-kali berlaku boros, terlampau boros. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu menjadi saudara-saudara syaitan dan syaitan itu terlalu kufur melawan terhadap Tuhan-Nya”.

 

12.                Bermula cara mendapat hasil yang tidak betul atau salah tetap diambil kira kerana cara yang tidak betul tidak membawa keberkatan. Walau terlalu banyak jumlahnya tidak ada keberkatan, al-Quran menegaskan konsep keberkatan. [Membaca sepotong ayat al-Quran]

 

13.                “Dan kalaulah penduduk negeri beriman dan bertakwa nescaya Kami bukakan untuk mereka keberkatan-keberkatan yang banyak yang turun dari langit dan yang keluar daripada bumi tetapi mereka membohonginya. Lalu Kami mengambil tindakan menghukum dengan sebab apa-apa yang telah dilakukan oleh mereka. Adakah penduduk negeri merasa aman selamat apabila tibanya hukuman Kami di waktu malam ketika mereka nyenyak tidur. Adakah penduduk negeri merasa aman selamat apabila tiba hukuman Kami di waktu duha pagi ketika mereka bermain dan tidaklah merasa selamat daripada langkah hukum kami itu melainkan orang-orang yang rugi”.

 

14.                Perkataan berkat tidak ada dalam teori politik, ekonomi dan masyarakat ciptaan manusia hanya ada dalam al-Quran. Tanpa keberkatan berlakunya bencana alam sekeliling seperti gempa bumi, banjir termasuk jerebu. Bukan sahaja jerebu cuaca termasuk juga jerebu politik, ekonomi dan sebagainya kerana kerakusan tanpa batas seperti tidak mesra alam sekeliling kerana boleh merosakkan alam sekitar kerana rakus untuk mendapat hasil sehingga kerosakan secara langsung daripada tangan manusia menyebabkan inflasi, kejatuhan mata wang, berlaku kerana tidak saksama di antara pengeluar dan kuasa membeli, ataupun pengedaran wang palsu yang boleh berlaku di peringkat antarabangsa.

 

15.                Saya percaya banyak negara dalam ketakutan untuk menyiasat atau mengkaji USD yang menjadi sandaran kewangan dunia itu, adakah kertas kosong yang dicatat sebanyak-banyaknya tanpa sandaran emas dan sebagainya yang bernilai tinggi kerana pencetaknya negara kuasa besar. Semua kesilapan atau kezaliman atau salah laku boleh menjadi bencana alam yang nyata. Dalam sistem pemerintahan Islam disebut Hisbah (Ombudsman), dilakukan bukan sahaja terhadap hasil pendapatan, bahkan dilakukan juga terhadap manusia yang mengurusnya. Di atas konsep hisbah tersebut berlaku peristiwa kepimpinan menjadi teladan secara kenyataan bukannya teori dan slogan.

 

16.                Pada zaman Khalifah Umar bin Khattab r.a., apabila Islam telah berjaya membebaskan tanah jajahan dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom walaupun dianggap negara paling besar, maju dan kaya di zamannya.

 

17.                Namun dua kuasa besar yang kuat dan kaya itu dianggap jahiliah kerana pelaksanaan konsep feudalisme yang memperhambakan rakyat dan menjajah negara dan kaum lain.

 

18.                Walaupun kekayaannya melimpah ruah namun rakyatnya menderita kerana sekadar menjadi hamba kepada kalangan atasan yang memerintah dan memiliki harta secara monopoli. Para petani yang tidak ada milik tanah beberapa generasi hanya layak menjadi laksana abdi kepada tuan-tuan tanah. Para peniaga di cukai yang membebankan, mengambil cukai laksana menyamun tanpa timbang rasa kemanusiaan.

 

19.                Islam telah membawa perubahan dengan kebebasan ekonomi yang tidak menindas dan memperhambakan rakyat serta menjana kewangan negara yang melimpah ruah. Bukan sahaja kemudahan asas rakyat yang sempurna mengikut zamannya bahkan kewangan negara yang melebihi keperluan tanpa kekurangan. Sabda Nabi Muhammad SAW, [Membaca sepotong hadis]. “Akan tiba masanya Islam mencapai kejayaan sehingga harta melimpah ruah tidak ada penerimanya”.

 

20.                Peristiwa menarik berlaku pada zaman Khalifah Umar bin Khattab r.a.. Apabila datangnya longgokan kain di Madinah untuk pakaian merupakan bahan paling sukar didapati di zamannya lalu dibahagikan secara percuma kepada penduduk Madinah.

 

21.                Setelah beberapa hari Khalifah Umar r.a. datang menemui rakyat di masjid dengan berpakaian baru, sebaik sahaja memulakan ucapannya, “Tuan-tuan dan puan-puan, sila dengar dan taat”. Tiba-tiba ada yang menyampuk, “Kami tidak mahu dengar dan taat sehingga Amirul Mukminin atau tuan khalifah memberitahu daripada mana datangnya kain baju baru yang dipakai ini. Ini kerana mengikut bahagiannya tidak mencukupi badan-Mu yang besar, sudah pasti ambil kain dari pintu belakang”.

 

22.                Alasannya kerana mengikut pembahagian yang diberi kepada masing-masing secara saksama tidak boleh mencukupi bagi saiz pakaian Khalifah Umar yang besar badannya sehingga anak Khalifah Umar, Abdullah bin Umar r.a. memaklumkan bahawa dia menghadiahkan bahagiannya kepada ayahnya. Sebaik penjelasan diberi dengan cara yang boleh dipercayai maka si pengkritik menegaskan sila teruskan ucapan sekarang kami sedia mendengar dan mematuhinya.

 

23.                Kita sedang mengalami krisis keyakinan yang lebih besar daripada sehelai kain, berjuta kali ganda daripada kepunyaan Khalifah Umar bin Khattab. Krisis keyakinan yang berlaku seluruh pelosok dunia kita menerima limpahan dan tempiasnya.

 

24.                Berulang kali berlakunya salah laku dalam hasil perbelanjaan dan pengurusan. Walaupun berlaku juga di banyak negara lain dilanda krisis yang melemahkan keyakinan dan kepercayaan kerana tidak amanah. Namun kita jangan sekali-kali berpegang kepada falsafah Pak Pandir yang memijak sebatang kayu buruk bagi menyeberangi parit kerana melihat semut yang ramai jumlahnya dapat meniti dengan selesa menyebabkan Pak Pandir basah kuyup ke dalam parit kerana meniti kayu buruk bersama semut itu atau menyalahkan orang lain tanpa mencerminkan diri sendiri.

 

25.                Marilah kita menjadikan iktibar secara ikhlas bagi memanfaatkan daripada hasil bumi negara kita yang melimpah ruah, tenaga manusia berbilang kepakaran, kemampuan daripada masyarakat majmuk yang sama kemanusiaannya walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya.

 

26.                Dengan semangat masyarakat Madani yang bersumberkan bahasa al-Quran daripada perkataan tamadun, kemajuan dan Ad-Din agama dan cara hidup tanpa pemisahan daripada agama.

 

27.                Ibnu Khaldun menegaskan bahawa manusia itu masyarakat Madani mengikut fitrahnya dengan syarat dibangunkan insannya, sifat dan ciri manusianya dengan betul. Aspek jasad, roh, akal individu masyarakat sehingga mampu membina negara dalam segala aspeknya. Bukan sahaja politik yang paling banyak dicaturkan sehingga mencelarukan bahkan termasuk juga ekonomi, keamanan dan keselamatan di semua peringkat. Merangkumi semua aspek kejadian manusia dan urusan kehidupannya daripada individu, keluarga, kelompok yang kecil sehinggalah sebuah negara masyarakat majmuk dan masyarakat antarabangsa.

 

28.                Percayalah bahawa kegagalan terus berulang sehingga lebih setengah abad sudah memerintah sendiri, merdeka tetapi masih tetap naik turun dan pasang surut. Tanpa mencapai ke tahap negara maju dan kuat.

 

29.                Wawasan 2020 sudah hampir. Pencetusnya masih hidup dan sangat berusia, namun tahap pencapaiannya secara menyeluruh belum hampir mencecah harapan. Maka kaum bumiputera yang sudah ke belakang menjadikannya tetap lebih jauh ke belakang kerana yang maju menjadi lebih maju.

 

30.                Konsep perlumbaan dalam teori liberal kapitalisme menjadikan kekayaan berpusing di kalangan tertentu sahaja, menyebabkan terus melakukan perkara yang dilarang oleh Quran. [Membaca sepotong ayat al-Quran]. “Jangan harta itu berpusing di kalangan orang-orang kaya yang tertentu sahaja”.

 

31.                Allah mencipta manusia dengan sifat kemampuannya mentadbir dan mengurus . Firman Allah, [Membaca sepotong ayat Al-Quran], “Adakah kamu tidak dapat melihat betapa Allah menciptakan untuk kamu segala apa yang ada di langit dan di bumi? Lalu Dia melimpahkan kepada kamu segala nikmat yang zahir dan sesungguhnya Allah mencipta manusia dengan sifat kemampuan jasad, roh dan akal. Kalau Allah tarbiyah dengan pendidikan dan pelajaran yang baik merangkumi semua sifat kemanusiaannya nescaya dapat mengurusnya dengan kebaikan yang berkatnya membawa pulangan yang melimpah-ruah.

 

32.                Seorang ulama’, zaman para sahabat terdahulu pada zaman keemasan Islam mengisahkan dia menyaksikan dua zaman dalam era Kerajaan Ammawiyah katanya, “saya menyaksikan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik meninggalkan harta pusaka berjuta dinar dan Khalifah Umar bin Abdul Aziz meninggalkan harta pusaka sejumlah hanya 20 dinar. Tiba-tiba saya menyaksikan anak Khalifah Sulaiman menjadi peminta sedekah, dan saya menyaksikan anak Khalifah Umar bin Abdul Aziz menjadi hartawan dan dermawan yang mampu menyumbang beratus-ratus ribu dinar”, menunjukkan betapa peranan manusia adalah pertama dan utama.

 

33.                Peranan manusia adalah pertama dan utama. Peruntukan sumber modalnya hanyalah bahan dan alat yang dirancang dan urusan bagi melaksanakan pelaburan secara istiqamah adalah manusia tanpa bakhil dan boros yang dimasukkan dalam perkara kebijaksanaan daripada petunjuk Allah.

 

34.                Bermakna perlukan belanjawan yang konsisten tanpa bakhil dan tanpa boros. Bakhil menyusahkan rakyat, menjadikan rakyat tidak menyumbang kepada negara maka negara tidak maju. Boros boleh merosakkan harta negara juga tidak maju. Inilah maknanya alwasatiyyah dalam aspek ekonomi yang menjana ekonomi negara.

 

35.                Negara memerlukan  pengurusan yang bijaksana, perbelanjaan yang betul dan adil tanpa kebijaksanaan ini, hasil yang banyak tidak mendatangkan apa-apa faedah. Berlakunya perbahasan bajet tambahan setiap kali selepas adanya persidangan bajet umum menunjukkan adanya lubang yang membocorkan menjadikan kewangan peruntukan yang tidak konsisten atau pengurusan yang salah. Adanya surplus, lebihan, menandakan kebijaksanaan. Berlakunya defisit, kekurangan menandakan tidak bijak atau pun penyelewengan.

 

36.                Muhasabah sahaja terhadap bajet tidak mencukupi. Kita juga memerlukan pembetulan terhadap kesilapan dan tindakan yang adil terhadap penyelewengan. Sering kali kita mencipta kehilangan wang negara dengan pelbagai peristiwa yang ditinggalkan zaman tanpa penyelesaian. Ditutup puncanya di bawah karpet, untuk dilupakan sehingga tidak dijadikan iktibar undang-undang dan penguatkuasaan yang laksana sarang labah-labah, yang hanya memerangkap nyamuk dan lalat, meloloskan helang dan jerung yang besar.

 

37.                Peristiwa terkini yang diuar-uarkan 1MDB hanyalah mengulangi drama BMF, PERWAJA, Mika Holdings dan lainlain.

 

38.                Tidak habis-habis menyalahkan di antara satu sama lain silih berganti tanpa keinsafan. Nampaknya kemampuan kita sekadar meminta supaya bertaubat , insaf dan jangan ulang lagi.

 

39.                Namun Islam mencipta sejarah apabila Nabi Muhammad SAW bertindak memaafkan epada yang bersalah ketika fathul makkah dengan keinsafan selepasnya telah berjaya mencipta tamadun baru. Apabila mereka yang istiqamah betul sepanjang masa, bergabung tenaga dengan mereka yang insaf menebus kesalahan yang lalu dengan khidmat yang sangat cemerlang sebelum meninggal dunia.

 

40.                Allah sentiasa menguji kita dengan cabaran dalaman dan di luar kita. Firman Allah, [Membaca sepotong ayat Al-Quran], “Dialah yang menerima taubat hamba-hambaNya dan memaafkan mereka daripada dosa-dosa. Padahal Dia mengetahui apaapa sahaja yang kamu lakukan, Dia menerima orang-orang yang beriman dan menambahkan kurniaNya. Dan bagi orang-orang kufur melawan hukuman azab yang sangat dahsyat. Kalau Allah melimpah-ruahkan rezekiNya tanpa batas, nescaya mereka jadi melampau. Namun dikurniakan mengikut kadar yang Dia kehendaki, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui berkenaan hamba-hambaNya lagi Maha Melihat”.

 

41.                Sangat menakjubkan kerana Allah menurunkan ayat ini dalam Surah As-Syura yang bermakna mesyuarat menunjukkan diberi peluang bermesyuarat dan bertaubat, bukan sekadar mendesak supaya menghukum yang tidak boleh menyelesaikan masalah.

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

42.                Manusia bermasyarakat madani, bukan sahaja dalam aspek masyarakat yang sempit bahkan Al-Quran meluaskan skopnya dengan makna yang luas, mencakupi seluruh dunia dan semua aspek kehidupan manusia yang bermasyarakat termasuk aspek ekonomi.

 

43.                Penegasan Al-Quran meletakkan manusia semuanya adalah satu keluarga. Firman ALLAH, [Membaca sepotong ayat Al-Quran], “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu asalnya daripada seorang lelaki Adam dan seorang wanita Hawa dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum supaya kamu bertaaruf sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui berkenaan diri kamu dan Maha Mengetahui berkenaan urusan kamu”.

 

44.                Menegaskan bahawa manusia itu pada hakikatnya berkeluarga besar, berasal daripada bapa dan ibu yang sama kemudian berkembang ke seluruh pelosok dunia, di tempat dan cuaca yang berbeza menjadikan mereka pula pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit dan semua yang berlainan.

 

45.                Namun tetap menjadi keperluan semua manusia membabitkan mereka bertaaruf bukan sahaja maknanya daripada segi bahasa sekadar berkenalan wajah, bahkan juga saling berhajat di antara satu sama lain dalam semua aspek.

 

46.                Ibnu Khaldun, bapa ilmu Sosiologi menegaskan keperluan manusia dalam keperluan hidup termasuk dalam aspek ekonomi mewajibkan bermasyarakat Madani bertamadun dengan ilmu, iman dan akhlak. Semuanya daripada perkara ad-din mewajibkan kerjasama yang adil dengan penuh saksama di kalangan manusia sama ada dalam kelompok yang kecil sehinggalah paling besar di peringkat antarabangsa dan alam sejagat.

 

47.                 Inilah hikmahnya Al-Quran menegaskan manusia seluruhnya pada hakikatnya adalah satu keluarga. Walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya dan lain-lain namun memerlukan percampuran bahan. Kebolehan, kepakaran dan tenaga, pertukaran dan tolong-menolong dalam perbezaan tersebut serta kemajuan masing-masing.

 

48.                Ada negara yang kaya dengan sumber pertanian, ada pula yang kaya dengan sumber galian, ada pula yang kaya dengan kemahiran dan kepakaran dan ada yang kaya dengan tenaga rakyat.

 

49.                Pada dasarnya adalah tidak mungkin seorang manusia ada satu bangsa, ada satu negara mempunyai segala-galanya. Maka dalam aspek ekonomi juga mewajibkan adanya hubungan kerjasama dan pembahagian kekayaan agar pendapatan yang adil dan saksama. Al-Quran yang menjadi kitab mukjizat memaparkan kisah terdahulu yang berulang dengan situasi realiti terkini.

 

50.                Allah mendedahkan ada kalangan para rasul yang menentang jahiliah ekonomi. Firman Allah mengisahkan kerasulan Nabi Shuib AS [Membaca sepotong ayat Al-Quran],“Dan kepada penduduk Madyan, diutuskan saudara mereka Nabi Shuib menjadi rasul. Dia berkata, Wahai kaumku, abdikan diri kamu kepada Allah, tiada lagi tuhan selain daripadaNya telah datang kepadamu keterangan daripada tuhan kamu. Maka tunaikan sukatan dan timbangan dengan betul, jangan sekali-kali mengambil sesuatu hak manusia secara jahat dan jangan melakukan kejahatan di bumi selepas dilakukan kebaikan. Itulah yang lebih baik kepada kamu sekiranya kamu beriman. Jangan duduk di jalanan untuk melakukan ancaman bagi merampas harta orang yang lalu dan menghalang manusia dari jalan Allah kerana mahu berlaku menyeleweng. Ingatlah nikmat Allah di mana kamu dahulunya sedikit, lemah dan susah, lalu Allah membanyakkan kamu daripada segi bilangan kaum dan kemewahan hidup. Biarlah apa-apa bencana yang telah menimpa ke atas mereka, yang melakukan kejahatan.

 

51.                Paparan daripada al-Quran menunjukkan bahawa Rasul juga ditugaskan menentang jahiliah ekonomi. Hamba-hamba manusia yang bertuhankan harta menjadikannya matlamat hidup yang dipuja selain Allah, mempersucikannya secara kotor sehingga berlaku zalim terhadap sesama manusia sehingga melupai sifat kemanusiaan. Gejala ini mencetuskan era kezaliman pada zaman lampau sehingga merampas bumi dan hasilnya serta memperhambakan sesama manusia.

 

52.                Kalau di zaman dahulu kuasa Barat yang maju dengan kuat selepas revolusi industri. Demi menjana kemajuannya, maka dibentuk armada untuk merompak di lautan luas. Selepasnya sanggup menjajah bumi, merampas hasil bumi dan menawan penduduk yang lemah, dijadikan abdi yang diperniagakan.

 

53.                Selagi gejala tersebut berterusan, maka keadaan yang mengikut perkembangan zaman sehingga serba boleh, maka diwujudkan penyelesaian masalah ekonomi bagi negara besar. Demi kepentingannya sahaja dengan mempergunakan negara sederhana dan kecil. Di atas konsep ekonomi bebas mengikut sistem liberal kapitalisme atau sosialisme, mengikut agenda globalisasi, menjadikannya lebih moden dan canggih.

 

54.                TPPA adalah agendanya bagi menghapuskan sempadan bumi dan perairan negara. Bersamanya dihilangkan sempadan sifat kemanusiaan sejagat dan hak asasi yang adil sesama manusia yang berkeluarga secara masyarakat madani. Kalau penjajah purba merompak tanpa undang-undang, maka penjajah baru diadakan undang-undang melindungi rompakan global di sebalik perjanjian yang dimateraikan, laksana cacing kerdil yang menumpang dalam perut ular yang lebih besar atau ikan kecil menumpang jerung yang besar lagi ganas.

 

55.                Begitulah betapa jadinya petani di negara yang sedang membangun sejak lebih setengah abad masih belum terbangun dengan sendirinya. Turut bernaung di bawah ketiak bekas penjajah yang masih berpeluh dengan semangat penjajahannya. Di mana petani yang memiliki tanah sekangkang kera yang majunya membajak dengan traktor Kubota paling kecil ditolak. Ada yang membajak dengan kerbau, menandingi petani negara besar yang memiliki ladang beribu-ribu hektar dengan jenteranya yang besar dan canggih.

 

56.                Di samping kemajuan sains dan teknologinya, begitulah juga nasib nelayan kecil yang bersampan menandingi kapal-kapal armada nelayan meredah lautan luas, sama sahaja nasibnya para kontraktor tempatan akan bersaing dengan kontraktor gergasi yang masuk kerana perjanjian yang merobekkan sempadan ekonomi negara.

 

57.                Belum lagi dikira USD yang tidak diketahui cagarannya. Adakah kertas kosong tetap perkasa? Mungkin kertas kosong kerana kuasa besarnya bersemangat penjajah melindunginya dengan kadar ringgit yang tidak mampu dipertahankan.

 

58.                Sepatutnya zaman pemimpin rakyat yang berjoli dengan umpan kereta Rolls Royce dan teksi terpakai daripada England dibeli menjadi kereta rasmi sudah cukup menjadikannya tampak peduli rakyat yang masih berkaki ayam sudah berlalu dalam lipatan sejarah. Oleh kerana seseorang yang beriman tidak harus disengat dua kali daripada lubang yang sama. Oleh kerana kita dikatakan sudah merdeka dan berulang kali menyambut Hari Kemerdekaan.

 

59.                Akhirnya, selamatkan keadaan secara bermasyarakat madani. Di kalangan negara serantau ASEAN, negara satu umat, seagama OIC dan juga satu kemanusiaan NAM, dengan adil dan saksama kemanusiaan bermoral, bukannya negara rimba dengan kemajuan sains dan teknologi yang menjadikannya lebih ganas daripada binatang buas kerana berakal dan berilmu yang disalah gunakan, itulah namanya jahiliah walaupun sudah berada dalam abad yang baru.

 

60.                Firman Allah SWT, benarlah firman Tuhan [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Telah zahir keburukan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia sendiri supaya dirahsiakan kepada mereka sebahagian daripada perubatan mereka. Mudahmudahan mereka kembali kepada kebenaran.”

 

61.                TPPA bukannya penyelesaian ekonomi global, bahkan lebih bersifat penjajah baru dalam aspek ekonomi kerana tidak mewujudkan kerjasama yang saksama dan adil. Adalah lebih baik bagi negara kita mengadakan kerjasama serantau dan negara yang terdekat di utamakan.

 

62.                Kerjasama ASEAN, OIC, China, Jepun, Rusia, selepasnya diikuti Eropah dan Amerika tanpa bermusuh dengan sesiapa dengan menggunakan bahan bersama secara adil. Sama ada sumber bumi, kepakaran dan tenaga kerja yang bersifat kerjasama yang adil.

 

63.                Bebaskan daripada bergantung dengan USD, kepada Dinar ataupun mata wang Asean dan sebagainya dengan membebaskan diri daripada mata wang negara yang juga mengalami krisis ekonomi dengan menjadikan kita pelampung penyelamat yang ditinggalkan selepas mereka selamat.

 

64.                Akhirnya, saya ingin menyentuh mengenai masalah keamanan dan keselamatan. Firman Allah SWT [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Allah berjanji kepada orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka kalangan yang memerintah di muka bumi sebagaimana dijadikan daripada kalangan umat terdahulu. Dia menjadikan Din Islam berkuasa memerintah. Lalu Dia menukar keadaan daripada ketakutan kepada keamanan. Mereka boleh beribadah kepadaKu Allah dalam keadaan tidak syirik terhadapKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur selepas itu mereka itu orang yang fasik.”

 

65.                Allah menjanjikan bahawa keamanan akan wujud apabila syariat Islam yang ada kehebatan menggerunkan penjenayah. Di mana proses kehakimannya sukar dihukum dengan syarat-syarat yang ketat kepada institusi kehakiman yang melibatkan para hakim, saksi dan keterangan dengan segelintir yang sangat kecil di jatuhkan hukuman qisas, hudud dan takzir akan mengatasi jenayah yang menggugat keamanan masyarakat yang sehingga kini menjadi masalah global apabila kadar jenayah naik mendadak di negara yang paling maju dan kaya di dunia.

 

66.                Sudah tiba masanya kita kembali kepada syariat Islam yang adil daripada rahmat Allah. Cukuplah memberi keinsafan dengan kelemahan undang-undang ciptaan manusia dengan peningkatan jenayah.

 

67.                Seterusnya, kita melihat pada keamanan dunia yang juga terancam oleh pertarungan yang menumpahkan darah sana sini. Mengapa umat Islam disalahkan sehingga mencetuskan Islamophobia yang sengaja dicetuskan oleh media barat yang dikuasai Zionis.

 

68.                Semua kekacauan, khususnya di Asia Barat adalah agenda penjajah. Negara kuasa besar yang pernah menjajah semenjak beberapa abad, mereka telah mencetuskan dua perang dunia yang dahsyat.

 

69.                Kajian yang adil dilakukan, bukan sahaja mereka menjadi punca dua peperangan yang dahsyat itu, bukan paling ramai mangsa korban adalah anak-anak negeri yang dijajah, khususnya umat Islam. Sama ada yang dikerah secara paksa menjadi tentera atau terpaksa berperang kerana tanah airnya dijadikan medan peperangan.

 

70.                Secara kebetulan, negeri umat Islam kaya dengan sumber alam. Secara kebetulan kedudukan geografi peta dunia Islam menjadi laluan strategik, laluan sumber tenaga dan perjalanan perdagangan.

 

71.                Daripada Selat Melaka terletak di antara Malaysia dan Indonesia sehingga Bap Mandap, pintu Laut Merah. Melalui Terusan Suez berada di dalam bumi Mesir sehingga Selat Bosporus di Istanbul, pintu ke Laut Hitam dan juga pintu Laut Mediterranean adalah tanah air umat Islam.

 

72.                Maka, kawasan ini sering kali menjadi mangsa peperangan. Langkah kuasa besar menubuhkan negara haram Zionis Israel dengan merampas dan menjadikan penduduk asalnya sehingga menjadi pelarian adalah jenayah perang yang paling besar dalam sejarah manusia. Semata-mata bagi menjaga kepentingan mereka daripada sumber tenaga paling kaya di rantau itu. Sehingga dilakukan apa sahaja walaupun mengorbankan manusia yang dibunuh atau menjadi pelarian.

 

73.                Konflik yang berlaku di rantau itu sekarang adalah agenda serampang yang lebih daripada dua mata. Bagi menyelamatkan Israel dan peperangan yang menjana ekonomi mereka dengan permainan harga minyak dan perniagaan senjata yang mencetuskan peperangan secara proxy di atas kejahilan agama dan semangat perkauman yang sempit. Semua pihak dibekalkan senjata dan logistik yang dianggap boleh digunakan dengan membunuh sesama sendiri dan membayar duit sendiri kepada pihak yang melagakan mereka dengan menggunakan kesilapan yang berlaku, seperti kezaliman pemerintah terhadap rakyat ataupun perbezaan agama antara Islam dan Kristian atau mazhab dalam satu agama atau kaum etnik yang berbeza.

 

74.                Sebenarnya sudah di rantau itu beribu tahun dan Islam telah menyatukan mereka. Bukan Islam yang salah tetapi kejahilan setempat, kezaliman pemerintah dan musuh. Islam mewajibkan kita bersabar dalam kesilapan, dalam negara umat dan negara sendiri. Walaupun terpaksa mengorbankan diri dan harta, bukannya merosakkan umat dan negara daripada dalam.

 

75.                Wajib membezakan di antara menentang musuh luar yang menceroboh dan menghadapi kesilapan dalam negara sendiri. Di atas kuasa ini, maka PAS sanggup bertahan kalah teruk dan sedikit kemenangan. Walaupun kemenangan yang dikejar kelihatan terlalu jauh kerana kami berpegang kepada janji untuk Allah, dua kemenangan dunia dan akhirat.

 

76.                Bahkan kita berjanji tetap bersama menentang musuh luar dan sesiapa sahaja mahu mengganggu urusan negara kita walaupun dalam perkara masalah yang wajib kita betulkan, walaupun kita sedar kesalahan dalaman kita jangan musuh luar campur negara kita. Biar kita sendiri [Tepuk] dan kebiasaan kita sendiri. Jangan sesekali menjemput musuh luar datang ke sini.

 

77.                Kita mahu mengharamkan peristiwa penjajahan berulang kerana nabi kita Muhammad menyebut tidak harus orang beriman disengat satu lubang iaitu sebanyak dua kali.

 

78.                Kita berpendapat langkah penyelesaian yang diwujudkan dua negara Palestin adalah mustahil dan tidak lebih diiktiraf negara rompakan terhadap bumi Palestin dan menubuhkan negara haram Israel yang menjaga kepentingan kuasa besar di kawasan Asia Barat.

 

79.                Sejarah bangsa Yahudi sejak beribu tahun tidak boleh menjadi alasan dan bukan bangsa Yahudi menjadi penduduk asal di Palestin. Tanpa dinafikan bangsa Yahudi yang berada di situ berhak menjadi rakyat dan beribadat menjadikan maha suci mereka. Kalau sejarah itu dipakai maka bangsa Red Indian lebih berhak memerintah mereka. Orang Asli di Australia dan New Zealand lebih berhak daripada bangsa kulit putih.

 

80.                Akan tetapi kita membaca petua terkini dan Islam menegah bahawa bumi adalah kepunyaan Allah dan menjadikan manusia satu keluarga yang wajib bermasyarakat madani secara bersaudara.

 

81.                Sepatutnya satu negara Palestin yang mengandungi masyarakat majmuk, al- Quran telah menjelaskan penyelesaiannya. [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Dan kalau Allah tidak menjadikan manusia bertolak menolak di antara benar dan salah nescaya dibinasakanlah kuil-kuil penganut Yahudi, gereja Kristian, sembahyang-sembahyang dan masjid-masjid yang disebut dalam nama Allah sebanyak-banyaknya”.

 

82.                Sejarah membuktikan betapa Yahudi dan Kristian tidak mengizinkan di antara satu sama lain dan berbunuhan. Serta memusnahkan rumah ibadat silih berganti sehinggalah Islam mengambil alih dan mengiktiraf Baitulmuqaddis adalah tanah suci berpenganut tiga agama samawi Islam, Kristian dan Yahudi.

 

83.                Kalangan pelampau Yahudi yang bergerak dengan pertubuhan Zionis berjuang untuk menguasai Baitulmuqaddis kononnya bagi penganut Yahudi sahaja bahkan yang lebih pelampau lagi mahu merobohkan Masjid Al-Aqsa supaya diganti dengan kuil Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman.

 

84.                Seterusnya menggali untuk mencari tabuk peti keramat yang memberi kekuatan berperang bagi menakluki dunia seluruhnya dengan mencetuskan peperangan terhadap semua bangsa dan agama bersama semangat cerita dongeng yang direka oleh pendeta-pendeta mereka yang menyeleweng daripada ajaran Nabi Musa dan Nabi Harun a.s.

 

85.                 Namun mazhab Yahudi Ortodok Neturei Karta pula berpegang bahaya usaha menubuhkan negara Israel adalah menggali kubur bagi menghapuskan bangsa Yahudi kerana menyeleweng ajaran yang sebenar. Saya berharap agar kerajaan kita tidak berpengaruh dengan cadangan penyelesaian dua negara yang ditaja oleh kuasa besar yang dipenuhi oleh Zionis.

 

86.                 Isu politik zalim dalam negeri dan antarabangsa dan isu ekonomi yang zalim meminggirkan sesama manusia mencetuskan wujudnya pelarian yang merebak di seluruh pelosok dunia sehingga Setiausaha Agung PBB mengaku sudah menjadi isu global.

 

87.                 Al-Quran telah menyatakan penyelesaian terhadap isu ini sejak 15 abad yang lalu. Apabila Allah menurunkan wahyunya dalam al-Quran. [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Dan jika seseorang bukan Islam mursyid datang meminta perlindungan maka berikanlah perlindungan kepadanya sehingga mendengar kalam Allah kemudian sampaikan ke tempat yang aman walaupun pendatang yang dizalimi itu kalangan penganut bukan Islam.

 

88.                Wajib diberikan perlindungan menunjukkan Islam memberi jaminan hak kemanusiaan sehingga merentasi sempadan agama yang berbeza walaupun diwajibkan berdakwah”.

 

89.                Islam melarang paksaan sebelum menerima Islam. Sekiranya mereka tidak menerima Islam hendaklah diberi keamanan sama ada dia benar berada dalam negeri umat Islam atau ke negeri yang aman kepadanya. Tidak diizinkan, dipaksa pulang ke negeri yang menzaliminya.

 

90.                Ke atas semangat inilah masyarakat Pantai Timur menjadi Islam menerima pendatang mangsa peperangan Vietnam dan Kemboja pada tahun 70-an. Sehingga kini nelayan-nelayan kita yang hanyut ke perairan mereka dilayan dengan baik kerana mengenang budi kita. Konsep Islam inilah yang menjadi panduan undang-undang antarabangsa dan piagam Geneva yang berkait dengan pelarian.

 

91.                Kita sepatutnya merasa kecewa dengan negara-negara jiran yang kaya raya menangani masalah Asia Barat dan merasa kecewa dengan agenda memaksa terhadap penganut Islam secara halus di negara-negara Arab dan mengutamakan kalangan profesional demi kepentingan ekonomi selain mengatasi masalah kemanusiaan.

 

92.                Akhirnya, saya ulangi ayat tema yang pernah diucapkan oleh Perdana Menteri dalam bajet yang lalu untuk dijadikan peringatan. [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Abdikan diri kepada Tuhan punya Kaabah ini yang memberi makan sehingga tidak lapar dan memberi keamanan sehingga tidak takut. Kosong beribadah, ekonomi yang memberi kehidupan dan politik yang mewujudkan dengan keamanan”. Sekian, terima kasih.

 

Selesai pada 6:05 ptg.

 

Layari caknakini.com bagi menyokong usaha pengupayaan OKU di Malaysia

No comments:

Post a Comment