TOP-UP UNTUK SEMUA

TOP-UP UNTUK SEMUA
Klik pada gambar untuk sertai kami dan nikmati penjimatan top-up, bayaran bil telefon, bil Astro dan bil utiliti terpilih.

Wednesday, November 4, 2015

Dewan Rakyat, OKU didakwa didalangi pengemis

Disunting dari hansard Dewan Rakyat, 29 Oktober 2015, sesi soal jawab lisan.

 

6. Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan apakah tindakan yang dibuat bagi mencegah kegiatan mengemis dan meminta derma di restoran dan kaki lima bank terutama bandar-bandar yang semakin menular sekarang terutama yang melibatkan sekolah tahfiz dan madrasah agama.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat [Datuk Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Mohd. Dun]:

 

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Antara tindakan yang diambil oleh kementerian bagi mencegah kegiatan mengemis ialah pertama operasi menyelamat pengemis. Kementerian melalui JKM ataupun Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa menjalankan operasi berjadual adhoc dan bersepadu dengan agensi yang terlibat seperti pihak berkuasa tempatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak hospital untuk menyelamatkan orang papa. Setiap agensi akan bertindak mengikut bidang kuasa agensi masing-masing.

 

Mulai Januari hingga Jun 2015, sebanyak 934 operasi telah dijalankan dan 770 orang pengemis telah diselamatkan. Daripada jumlah tersebut seramai 72 orang adalah kanak-kanak.

 

Pengemis-pengemis ini diambil tindakan di bawah Akta Orang Papa 1977 dan tindakan mengikut agensi penguatkuasaan lain seperti polis, imigresen dan AADK.

 

Bagi kes pengemisan melibatkan orang dewasa ia akan dikendalikan mengikut peruntukan di bawah Akta Orang Papa 1977, manakala kes pengemisan melibatkan kanak-kanak akan dikendalikan mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

 

Kedua, pemantauan aktiviti mengemis. JKM menjalankan aktiviti pemantauan berkala di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti pengemisan seperti pusat membeli-belah, restoran, pasar sehari, pasar malam, kaki lima bank dan bangunan perniagaan. Sekiranya masih terdapat pengemis, mereka akan diselamatkan dan diserahkan kepada agensi yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

 

Ketiga, program kesedaran. Kementerian juga meningkatkan kesedaran awam untuk tidak menggalakkan aktiviti pengemisan melalui program-program advokasi dengan mengedarkan poster, banting, risalah dan sebagainya. Kementerian berharap masyarakat dapat menyalurkan sumbangan atau derma mereka kepada pihak-pihak bertauliah seperti pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang berdaftar, rumah ibadat dan pusat jagaan yang berdaftar dengan JKM.

 

Keempat, jawatankuasa bagi menangani isu pengemisan. JKM juga bertindak sebagai urus setia kepada jawatankuasa bagi menangani isu pengemisan di peringkat nasional, negeri dan daerah. Jawatankuasa ini berperanan untuk menyelaras program serta merangka tindakan bersepadu antara agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan sukarela yang berkaitan. Isu dan perkara berbangkit berkaitan pengemisan dibincangkan bersama bagi mencari pendekatan yang terbaik menangani isu ini.

 

Kelima, task force kutipan derma. JKM juga telah menubuhkan task force berkaitan isu eksploitasi kanak-kanak di kalangan kanak-kanak melalui kutipan derma di Malaysia yang telah

dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Shamsiah Abdul Rahman Ahli Majlis Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-kanak Kebangsaan pada 7 Mei 2014.

 

Tujuan task force ini adalah untuk membincangkan isu kutipan derma di kalangan kanak-kanak yang berlaku di Malaysia terutamanya yang melibatkan golongan daripada sekolah tahfiz dan di kalangan kanak-kanak Rohingya.

 

Selain itu JAKIM juga telah bekerjasama dengan JKM dan beberapa agensi kerajaan serta swasta untuk membangunkan pelan tindakan menangani isu eksploitasi kanak-kanak melalui kutipan derma pada 10 Jun 2013. Inisiatif ini diambil kerana terdapat juga kanak-kanak yang menemui orang ramai untuk mendapatkan derma dipercayai daripada pelajar tahfiz. Pelan tindakan tersebut dijadikan sebagai salah satu dokumen rujukan bagi menyelaraskan tindakan dengan beberapa agensi yang mempunyai bidang kuasa bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak termasuklah JKM, PDRM, PLUS, Jabatan Agama Islam Negeri dan lain-lain.

 

Selain KPWKM, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga melalui undang-undang kecil mereka boleh mengambil tindakan sesuai dalam membanteras isu pengemisan dari terus berleluasa di kawasan pentadbiran masing-masing.

 

Tuan Yang di-Pertua, isu berkaitan agama Islam termasuk tindakan terhadap sekolah tahfiz dan madrasah agama yang mempergunakan khidmat kanak-kanak untuk mengutip derma adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Justeru kerajaan negeri diminta untuk samasama menangani masalah serta isu ini. Terima kasih.

 

Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri yang bagi saya jawapan diberikan sangat menyeluruh dan all encomposing dengan izin. Ada dakwaan bahawa operasi pengemisan yang dibuat oleh kanakkanak ini bukan hanya daripada institusi-institusi agama seperti maahad tahfiz ataupun madrasah tetapi adalah dirancang dan dilaksanakan oleh sindiket-sindiket yang tersusun dan teratur. Soalannya, dalam jawapan tadi tidak ada disebut sama ada, ada mana-mana pihak yang telah dapat dikesan didakwa atas usaha-usaha sindiket mengemis ini. Jadi soalan saya, benarkah ada sindiket ini? dan jika benar adakah tindakan-tindakan telah diambil dan kalau ada tindakan undang-undang, kalau boleh dinyatakan. Kita rasa ini menunjukkan bertambah seriusnya usaha kerajaan untuk membanteras isu mengemis. Terima kasih.

 

Datuk Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Mohd. Dun: Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Sebenarnya ada banyak orang yang mengatakan ada sindiket, ada sindiket tetapi bila kita mengadakan Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama-sama dengan agensi yang lain mengadakan operasi-operasi ini yang berterusan, susah sangat untuk mendapatkan evidence ataupun bukti yang ada sindiket yang terlibat.

 

Oleh sebab itulah, kita lihat setakat ini apa yang kita buat apabila kita mengadakan operasi mereka yang terlibat kita akan selamatkan. Kalau mereka ini berumur di bawah 60 tahun, maka kita bawa ke desa bina diri untuk kita latih mereka, ajar mereka supaya mereka mempunyai kemahiran dan dapat kembali bekerja dan kembali kepada masyarakat.

 

Sekiranya mereka ini berumur 60 tahun ke atas, maka kita bawa pula ke rumah-rumah Seri Kenangan kita di mana mereka kita akan jaga selama tiga tahun dan sekiranya dalam tempoh masa itu ada ahli keluarga mereka yang boleh mengambil mereka kembali ke pangkuan keluarga, maka kita akan kembalikan ataupun jika mereka menunjukkan kesungguhan untuk bekerja, maka kita bebaskan.

 

Akan tetapi berkaitan dengan tuduhan yang ada sindiket ini, kita ingin sangatlah kalau ada pihak yang boleh datang come forward kepada kita dan kepada pihak polis untuk menunjukkan bukti-bukti sindiket ini.

 

Jika ini dapat ditunjukkan, maka pihak berkuasa akan mengambil tindakan Insya-Allah. Akan tetapi dalam masa yang sama kita akan meneruskan kerja kita, operasi kita untuk menyelamatkan pengemis ini. Terima kasih.

 

Datuk Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya selama ini kadang-kadang saya tidak sebulu dengan Yang Berhormat Kuala Krai tetapi dalam soalan ini saya sokong Yang Berhormat Kuala Krai. Kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri yang menjawab, jadi berkaitan dengan pengemis. Saya juga menjalankan biro kebajikan, mempengerusikan Biro Kebajikan UMNO. Justeru itu, relevan dengan saya di mana kita juga sedang mengesan apa yang Yang Berhormat sebutkan tadi.

 

Sindiket ini memang wujud cuma macam Yang Berhormat Timbalan Menteri sebutkan tadi perlu adanya satu evidence yang kukuh untuk kita dakwa mereka. Akan tetapi saya juga ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Menteri sudah sebutkan tadi NBOS iaitu National Blue Ocean Strategy patut kita memperkasakan lagi, bekerjasama erat dengan kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan termasuklah tentera juga boleh bantu, polis, Imigresen, semua kita boleh kita libatkan untuk kita tengok bagaimana kaedah yang bersesuaian.

 

Ini saya merasakan perkara ini amat penting. Bukan setakat di bandar, malahan kalau kita hendak balik ke kawasan masing-masing khususnya balik ke Utara, balik ke Kedah contohnya you berhenti dekat Rehat dan Rawat (R&R) pun ada dia bawa anak-anak, dia bawa baby selain daripada masjid pada hari Jumaat. Saya merasakan kebanyakan mereka ini adalah bukan warganegara kita. Mereka ini datang dari luar. Itu di antara perkara yang saya fikir kementerian Yang Berhormat Timbalan Menteri harus meneliti dan melihat secara meluas untuk memastikan ia dapat dilaksanakan.

 

Satu lagi yang saya hendak sentuh juga tambahan daripada apa Yang Berhormat Kuala Krai sebutkan tadi mereka ini yang buta. Yang buta ini juga... Beberapa Ahli: [Menyampuk]

 

Datuk Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling]: Janganlah sibuk. Saya tidak pernah kacau Yang Berhormat Kapar. Eh nyonya, you boleh diam kah nyonya? Beberapa Ahli: [Ketawa]

 

Datuk Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling]: Bila saya panggil you nyonya Yang Berhormat Seputeh, you marah. Bila orang tanya soalan janganlah kacau. Ini perkara mustahak, ini perkara penting. [Dewan riuh]

Seorang Ahli: Soalan.

 

Datuk Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling]: Saya tengah tanya soalan lah. Saya mesti tanya soalan dan memberi pandangan.

 

Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Semua penting. Soalan, soalan.

 

Datuk Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling]: Itulah. Ini bukan menjadi Ahli Parlimen yang macam ini yang sibuk bercerita pasal 1MDB, RM2.6 bilion. Kerja hendak mengangkat martabat rakyat, tolong rakyat tidak ada. Jadi, orang hendak cakap betul pun hendak ganggu.

 

Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: ...on 1MDB. Thank you.

 

Datuk Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling]: Jadi, saya hendak beritahu, hendak minta satu lagi soalan tambahan saya berkaitan dengan mereka yang buta ini. Memang lah kita hendak bantu mereka yang buta. Sememangnya saya tidak tahulah pembangkang bagi atau tidak bagi. Saya kalau biasa jumpa orang buta kita bagi. Dia orang ini sibuk cerita hal orang sahaja. Jadi, saya hendak beritahu yang buta ini pun juga ada banyak warga asing yang berada di sini.

 

Tuan Sim Chee Keong [Bukit Mertajam]: Sekadar pakai cerita.

 

Datuk Abdul Azeez bin Abdul Rahim [Baling]: Jadi, saya minta kementerian Yang Berhormat untuk meneliti, memastikan perkara ini dapat kita benar-benar. Kalau mereka perlu dibantu kita bantu. Kalau ada sindiket kena ada NBOS strategy ini untuk menahan mereka dan dakwa mereka di mahkamah. Terima kasih.

Beberapa Ahli: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

 

Datuk Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Mohd Dun: Terima kasih adinda daripada Baling. Memang membawa banyak cadangan yang baik. Saya percaya pihak sana pun bersetuju juga dengan cadangan-cadangan yang baik ini. Sengaja sahaja dia orang hendak buat bising itu.

 

Pertamanya berkenaan dengan cadangan untuk kita mengerjakan NBOS. Seperti mana yang saya sebutkan tadi memang pun segala operasi kita melibatkan semua agensi yang berkaitan termasuklah pihak polis, pihak Imigresen dan juga pihak AADK tetapi itulah setakat ini untuk kita dapatkan bukti-bukti sindiket itu sememangnya bukan satu perkara yang mudah.

 

Mereka ini terlalu pandai. Kalau kita hendak tangkap kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, selepas itu dia tahu next time dia akan bawa orang yang berumur lebih 18 tahun. Jadi, tidak boleh lagi kita ambil tindakan di bawah Akta Kanak-kanak. Dia macam itu. Mereka ini amat licik sekali.

 

Walau macam mana pun saya percaya dengan adanya kerjasama berbagai-bagai jabatan, saya mengambil kira tadi apa cadangan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat daripada Baling itu kita akan pastikan kerjasama ini lebih mantap lagi dan kita akan pastikan mereka akan diambil tindakan.

 

Saya juga ingin katakan di sini, akan tekankan di sini bahawa kalau ada ibu bapa juga yang terlibat dengan sindiket ini dan kita ada buktinya kita akan ambil tindakan terhadap mereka di bawah Akta Kanak-kanak jika yang terlibat menjadi pengemis ini adalah di bawah 18 tahun. Kita akan ambil tindakan terhadap mereka. Be warned, sekarang kita akan ambil tindakan terhadap mereka supaya mereka sedar bahawa mereka tidak boleh mempergunakan anak-anak mereka untuk tujuan mengemis ini.

 

Kedua tentang berkaitan dengan orang yang buta, Yang Berhormat. Memanglah kita sudah tubuhkan satu task force di bawah kementerian yang saya mempengerusikan sendiri berkaitan dengan orang kurang upaya yang mana kita akan melihat bagaimana kita dapat empower dan enable orang-orang kurang upaya termasuk orang buta ini.

 

Saya ingin maklumkan di sini di pejabat saya, saya ada seorang pegawai daripada kalangan orang buta. Jadi, saya mintalah kepada semua Ahli Yang Berhormat bagi kita membantu orang kurang upaya ini supaya mereka mempunyai pekerjaan dan mereka dipandang tinggi oleh masyarakat kita. Ambil mereka bekerja di pusat-pusat khidmat Yang Berhormat-Yang Berhormat atau pun di pejabat-pejabat Yang Berhormat-Yang Berhormat supaya kita dapat capai 1% untuk memberi pekerjaan kepada orang kurang upaya ini.

 

Insya-Allah kami di kementerian, ini kerja yang akan kita teruskan tidak kira yang buta kah, yang pekak kah yang physical handicapped kah, kita akan terus membantu mereka dengan pelbagai cara supaya mereka boleh menjadi anggota masyarakat kita yang boleh berdikari dan dihormati, insya-Allah terima kasih.

 

Layari caknakini.com bagi menyokong usaha pengupayaan OKU di Malaysia

No comments:

Post a Comment