SEBAGAIMANA yang saya janjikan dalam posting Aduh, sistem kehakiman luka lagi!, pada kali ini secara sepintas lalu saya akan kemukakan alas an kepada permohonan DS Nizar bagi kesnya didengar oleh 1 panel hakim di Mahkamah Persekutuan.
Antara alasan yang mendasari permohonan DS Nizar ialah suatu peruntukan di bawah COURTS OF JUDICATURE ACT 1964 dan secara lebih khusus seksyen 74 yang mana berbunyi seperti di bawah:
74. Composition of the Federal Court.
1. Subject as hereinafter provided, every proceeding in the Federal Court shall be heard and disposed of by three Judges or such greater uneven number of Judges as the Chief Justice may in any particular case determine.
Dalam kes-kes rayuan yang didengar di Mahkamah Persekutuan, sekurang-kurangnya tiga orang hakim hendaklah mendengar sesuatu kes. Selain itu, ia juga boleh didengar oleh bilangan yang lebih asalkan ianya bilangan ganjil dan apa yang lebih utama, penentuan bilangan hakim dan pemilihan hakim tersebut adalah budibicara YAA Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga Ketua Hakim Negara.
DS Nizar dalam rayuannya telah memohon untuk rayuannya didengari oleh 11 hakim bagi memastikan keadilan benar-benar diserlahkan. Ini disebabkan bilangan hakim yang lebih akan memastikan kebarangkalian pelbagai pandangan keputusan perundangan yang lebih terbuka dan tidak terarah ke satu hala sahaja.
Pemilihan hakim dalam bilangan kecil akan lebih menyerlahkan penentuan ke satu hala pandangan sahaja. Secara analogi mudah, seseorang ketua yang bermesyuarat dengan bilangan ahli yang ramai akan membuka halatuju perbincangan lebih terbuka.
Hal panel rayuan ini telah diulas oleh Hakim Mahkamah persekutuan YA Gopal Sri Ram dalam kes BADAN PEGUAM MALAYSIA v. KERAJAAN MALAYSIA [2009] 1 CLJ 833, dalam perenggan 57.
Bagi YA. Sri Ra, penentuan panel bagi mendengar sesuatu kes amat penting bagi memastikan pentadbiran keadilan berjalan dengan baik. Apatah lagi dalam kes baru-baru ini, elima-lima hakim terlibat adalah mereka yang turut terlibat dalam kes-kes berkaitan isu Perak sebelum ini.
Sebagai rujukan dan rekod, di bawah ini saya perturunkan senarai kes-kes yang terbabit dan hakim-hakim yang terlibat.
| MAHKAMAH | NO. KES | PIHAK-PIHAK | HAKIM-HAKIM | TARIKH PENGHAKIMAN |
| Mahkamah Rayuan | Rayuan Sivil No. W-01-51-09 | Dato' Seri Ir. Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin v Dato' Dr. Zambry bin Abd Kadir | (a)YA Dato' Md Raus bin Sharif (b)YA Dato' Abdull Hamid bin Embong (c) YA Dato' Ahmad bin Haji Maarop | 20.03.2009 |
| Mahkamah persekutuan | Rayuan Sivil No. 06-1-2009 (W) | Dato' Seri Ir. Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin v Dato' Dr. Zambry bin Abd Kadir | (a)YAA Tan Sri Dato' Seri Alauddin bin Dato' Mohd. Sheriff (b)YAA Dato' Arifin bin Zakaria (c) YA Dato' Zulkefli bin Ahmad Makinudin (d)YA Dato' Sri Augustine Paul a/l Sinnappen (e)YA Dato' James Foong Cheng Yuen | 23.03.2009 |
| Mahkamah persekutuan | Notis Usul No. 06-3-2009 (A) | Jamaludin bin Mohd Radzi & 2 lagi v Sivakumar a/l V.Naidu | (a)YAA Tan Sri Dato' Seri Alauddin bin Dato' Mohd Sheriff (b)YAA Dato Arifin bin Zakaria (c) YA Dato' Bentara Istana Dato' Nik Hashim bin Nik Abd. Rahman (d)YA Dato' Sri Augustine Paul a/l Sinnappen (e)YA Dato' James Foong Cheng Yuen | 08.04.2009 |
| Mahkamah persekutuan | Notis Usul No. 06-4-2009 (A) | Dato' Dr Zambry bin Abd Kadir & 6 lagi v Sivakumar a/l Naidu | (a)YAA Tan Sri Dato' Seri Alauddin bin Dato' Mohd Sheriff (b)YAA Dato Arifin bin Zakaria (c) YA Dato' Bentara Istana Dato' Nik Hashim bin Nik Abd. Rahman (d)YA Dato' Sri Augustine Paul a/l Sinnappen (e)YA Dato' Zulkefli bin Ahmad Makinudin | 16.04.2009 |
| Mahkamah persekutuan | Rujukan Sivil No. 06-5-2009 (W) | Dato' Dr. Zambry bin Abd Kadir v Dato' Seri Ir. Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin | (a)YAA Tan Sri Dato' Seri Alauddin bin Dato' Mohd Sheriff (b)YAA Dato' Arifin bin Zakaria (c) YA Dato' Zulkefli bin Ahmad Makinudin (d)YA Datuk Wira Haji Mohd Ghazali bin Mohd Yusoff (e)YA Dato' James Foong Cheng Yuen | 28.04.2009 |
| Mahkamah Rayuan | Rujukan Sivil No. W-01-112-2009 | Dato' Dr. Zambry bin Abd Kadir v Dato' Seri Ir. Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin | (a)YA Dato' Md Raus bin Sharif (b)YA Datuk Zainun binti Ali (c) YA Dato' Ahmad bin Haji Maarop | 22.05.2009 |
| Mahkamah persekutuan | Permohonan Sivil No. 08(f)-145-2009 | Dato' Dr. Zambry bin Abd Kadir v Dato' Seri Ir. Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin | (a)YAA Tan Sri Dato' Seri Alauddin bin Dato' Mohd Sheriff (b)YAA Dato' Arifin bin Zakaria (c) YA Dato' Zulkefli bin Ahmad Makinudin | 09.07.2009 |
Secara mudahnya, adakah keputusan yang dibuat oleh kelima-lima hakim yang menolak permohonan DS Nizar tersebut dibuat dengan sebebas-bebasnya? Adakah mereka benar-benar bebas dari pengaruh keputusan-keputusan yang mereka putuskan dalam kes-kes terdahulu?
Persoalan-persoalan sebeginilah yang seharusnya dielak dari berbangkit di peringkat penentuan undang-undang dalam forum tertinggi Negara. Namun ia telah berlaku bilamana panel yang sama memutuskan dalam kes-kes yang isu dan faktanya hamper serupa.
Apa pun segalanya telah terjadi dan sedikit sebanyak saya berpendapat ia telah mencalarkan pentadbiran keadilan Negara. Dalam keadaan rakyat mengharapkan sesuatu terbaik dari keputusan-keputusan yang dibuat, pandangan-pandangan yang tidak diingini tetap tidak dapat dielakkan lagi.
Justeru, kepimpinan Negara di bawah YAB Perdana Menteri sewajarnya mengambil tindakan sepatutnya supaya apa yang saya katakan sebagai tercalar ini dapat diremedikan.
Pada kesempatan ini juga, suka saya mempelawa sekalian pengunjung dan sahabat sekalian untuk sama-sama menyokong kempen mendokong Perlembagaan Persekutuan sebagaimana butirannya di sini dan juga di sini. 20 Dzulkaedah 1430H.