Thursday, October 30, 2008

Bumi dipijak langit dijunjung, bagaimana anda?

Dalam menangani pelbagai situasi pada hari ini, tindakan yang profesyenal amatlah diperlukan dari pelbagai pihak. Kecekapan pasukan keselamatan bukan hanya siknifikan dalam menangani kes-kes berunsur politiking, bahkan dalam membenteras jenayah yang kian meragut keamanan rakyat.

 

Nilailah dengan tulus apa yang terpapar di sini.

 

Janganlah kerana sesuatu kes itu berprofile tinggi, kecaknaan diberi berlebihan melampaui tahap kemunasabahan hingga terpinggit kebijaksanaan dan tercicir kes-kes lain yang hanya bersifat awam.

 

Selain itu, kesentosaan dan kesejahteraan negara adalah tanggungjawab bersama. Apa gunanya membesarkan sesuatu yang tidak sepatutnya sekadar menagih sokongan yang hilang? Cubalah renung apa yang terjadi dua bulan yang lalu agar perkara yang sama tidak berulang.

 

Amat penting peranan media yang memungkinkan timbulnya ketegangan dengan ciptaan impresi panas. Justeru, hentikan olahan sebegitu rupa:

 

bahagian 1

 

bahagian 2

 

bahagian 3

 

bahagian 4

 

fahamilah lima prinsip rukun negara yang kita dokongi bersama.

Cabaran pengajian OKU penglihatan

Sebelum saya menulis lebih ke dalam, ingin saya memperingatkan diri saya akan janji saya untuk menulis perihal kekuatan Dolar Singapura berbanding matawang Amerika Syarikat. Dalam sedikit masa lagi saya akan berkongsi dengan pembaca hasilan analisa berasaskan prinsip fiboonacci yang telah terbukti berkesan.

 

Berbalik pada tajuk penulisan ini, ingin saya berkongsi dengan pengunjung budiman. Sehingga kini saya masih dihujani pertanyaan oleh rakan-rakan bagaimana seorang yang buta melalui alam pendidikan seawal sekolah rendah hingga ke menara gading. Kehairanan mereka timbul setelah membayangkan betapa sukarnya untuk menghadapi cabaran ilmu dengan ketiadaan penglihatan. Sememangnya tidak menghairankan. Tentu saja seorang yang dapat melihat akan tergamam bila membayangkan kehidupan seorang buta secara beliau mengimajinasikan situasi kebutaan itu pada dirinya sendiri.

 

Untuk pengetahuan semua, antara cabaran pelajar buta khususnya di peringkat pengajian tinggi adalah untuk mengakses bahan-bahan rujukan yang kedapatan di perpustakaan atau di mana-mana sahaja. Dua cabaran utama yang perlu dilalui iaitu mendapatkan bahan untuk dirujuk dan mendapatkan bantuan rakan-rakan atau sukarelawan untuk membaca bahan tersebut.

 

Setelah bahan rujukan diperolehi dan adanya sukarelawan yang ikhlas membantu, bahan rujukan tersebut akan dipindahkan sama ada ke dalam tulisan braille ataupun ke dalam kaset secara rakaman suara pembaca. Itu bergantunglah kepada keperluan semasa terhadap rujukan tersebut.

 

Pengalaman saya sendiri proses tersebut merupakan antara proses yang amat menyakitkan bilamana terpaksa berhadapan dengan hambatan masa yang begitu pantas berjalan. Seringkali ruang masa untuk mentelaah rujukanrujukan yang dikumpul hanya dapat dilakukan pada saat-saat akhir kerana banyak masa digunakan bagi mendapatkan akses kepada rujukan tersebut.

 

Hanya izin Allah sahajalah dengan mengurniakan kekuatan minda memungkin semua pelajar buta di pusat pengajian tinggi tidak menemui kegagalan. Dalam pada itu, kemudahan teknologi hari ini banyak jua membantu dalam usaha mengharungi cabaran sebagai seorang pelajar. Butiran lanjut tentang penggunaan komputer oleh OKU penglihatan boleh didapati di sini.

 

Cabaran yang dilalui oleh OKU penglihatan sepanjang pengajian sememangnya memberi kekuatan untuk kami berhadapan dengan apa jua cabaran setelah tamat pengajian. Justeru, suka saya menyeru kepada ibu / bapa yang mempunyai anak OKU penglihatan untuk tidak gusar dengan kecacatan si anak.

 

Besar harapan saya untuk pengalaman kecil ini disebarluaskan bagi manfaat bersama agar keciciran ilmu di kalangan OKU penglihatan khususnya dapat diminimumkan. – Mohammad Faizal Che Yusof.

 

Sunday, October 26, 2008

DEKLARASI JANDA BAIK - (dokongan para pemblog)

DEKLARASI JANDA BAIK

 

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

 

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI.

 

2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

 

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

 

4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.

 

5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.

 

6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistic yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR.

 

7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.

 

8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

 

9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

 

10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan

 

11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.

 

12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.

 

13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.

 

14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.

 

15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.

 

Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

 

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.

Nasib bik CIMB, apa halnya kalau kita dirompak?

Mangsa jenayah yang membuat laporan di balai-balai polis kemudiannya disalahkan terhadap jenayah yang berlaku bukanlah suatu hal yang baru. Hal yang sama kini dialami oleh CIMB yang mesin ATMnya diletupkan bagi menjayakan rompakan.

 

Dalam laporan hari ini bertajuk CIMB refutes police claims nyata ada nada kekesalan di pihak CEO CIMB yang dikatakan oleh pihak polis tidak mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengelakkan rompakan secara letupan tersebut.

 

 

Semoga pengalaman yang dialami oleh CIMB sebagai antara institusi gergasi di negara ini menjadi pengajaran kepada pihak berwajip. Jika hal tersebut dialami oleh insan bawahan seperti saya tidak menhairankan lagi. Dah biasa kami ditujahi persoalan seperti yang digambarkan dalam cerita Ahmad Albab tu.

 

Sebagai mangsa kepada kes jenayah, siapa yang boleh meramalkan atau menjangka yang ia akan menjadi mangsa jenayah? Hanya usaha mengikut kemampuan sahajalah boleh dilakukan bagi melindungi diri. Selebihnya diserahkan kepada Allah S.W.T. dan aduan yang dibuat kepada pihak berkuasa.

 

Marilah semua dengan setulus hati seikhlas jiwa merungkai masalah yang kian parah ini. – Mohammad Faizal Che Yusof

Saturday, October 25, 2008

Pendakwaan kepentingan awam terhadap Kerajaan Malaysia?

Tujuan saya menulis dan menyampaikan pendapat di sini hanyalah sekadar meluah rasa serta memanfaatkan sedikit pengetahuan yang ada. Mudah-mudahan dengan sedikit usaha tersebut Allah melimpahkan saya dengan nilaian ilmu yang berharga dan rezeki yang tidak putus.

 

Membaca petikan laporan yang disiarkan di sini membuatkan saya rasa amat kesal. Sebahagian petikan laporan yang merupakan kenyataan YAB TPM:

 

"We promised that if the global oil price goes down, the domestic fuel price will reflect the actual price market.

 

"So, just give the Government some time to make the decision. The Cabinet has already given the mandate to the economy council exco chaired by the Prime Minister to make the decision," he told reporters at his residence on Saturday after presenting gifts to 180 recipients who would be performing the haj in Mecca.

 

Kenyataan sedemikian bukan baru sebagai mengambil kesempatan untuk ianya diulas. Pandangan yang mirip kepada kenyataan tersebut pernah diterbitkan sebagaimana ianya dilaporkan di sini. Meskipun kenyataan tersebut datang dari sumber yang berbeza, namun tetap siknifikan kerana kedua-duanya terkeluar dari pimpinan parti komponen Barisan Nasional yang menerajui Negara.

 

Kekesalan saya hanyalah disebabkan pengurusan bekalan dan harga petrol yang seharusnya lebih baik dilaksanakan di peringkat domestic. Tak perlu saya mengulanginya kerana saya pernah menulis sebelum ini di sini.

 

Dalam pada itu Buletin Utama TV3 sebentar tadi telah menyiarkan  suatu laporan yang menyebut menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna KPDNHEP telah mengeluarkan kenyataan di Johor yang membawa erti harga minyak domestic tidak akan turun melebihi 15 sen demi mengelakkan kerugian pengusaha minyak.

 

Kekesalan saya bertambah bila saya merasakan saya sebagai rakyat dinafikan kemampuan penaakulan yang dikurniakan kepada setiap makhluk bergelar insan. Tidakkah harga yang didapati di stesen-seesen minyak itu sebahagian bayaran yang diterima oleh pengusaha stesen selain dari subsidi kerajaan? Dengan perkataan lain, penurunan harga yang terpapar di stesen minyak hanyalah kuncupan nilai harga minyak dari nilai yang dibayar oleh rakyat dipindahkan kepada peningkatan subsidi kerajaan. Turun atau naik harga, pengusaha tetap mendapat bayaran yang sama setelah dijumlahkan bayaran oleh pengguna dan subsidi kerajaan.

 

Justeru, dengan rendah hati saya sekian kalinya memohon kepada pimpinan Negara yang ada untuk lebih bijaksana dalam menguruskan Negara bagi kepentingan bersama. Jika tidak melalui "pendakwaan kepentingan awam" di mahkamah terhadap kerajaan, haruslah kita sedar selaku umat Islam kita akan dipertaqnggungjawabkan di akhirat sana.

 

Saya menyanjung tinggi pucuk pimpinan dan apa yang dilontarkan hanyalah usaha saya untuk mendapat keuntungan dari Tuhan yang maha agong. - Mohammad Faizal Che Yusof.

Thursday, October 23, 2008

Penurunan nilai Dolar Amerika, persepsi atau reliti?

Penurunan pelbagai matawang berbanding Dolar Amerika "USD" pada masa kini seharusnya diteliti secara bijaksana. Beberapa waktu kebelakangan, kita menyaksikan nilai USD begitu menjunam berbanding beberapa matawang. Dalam kesempatan ini, saya suka untuk berkongsi pengamatan yang dibuat terhadap dua matawang utama dunia iaitu Euro "EUR" dan Dólar Australia "AUD".

 

Euro adalah matawang utama benua Eropah pada masa kini selain dari pelbagai matawang di negara-negara ahli EU. Rata-rata negara-negara benua Eropah adalah negara-negara maju yang merupakan antara pemain utama dalam menggerakkan ekonomi dunia. Demikian juga dengan Australia. Di benua Asia Pasifik, selain Jepun, Australia merupakan negara penggerak ekonomi dunia serentak dengan rapatnya negara ini dengan US.

 

Saya melihat pola menurun USD berbanding EUR dan AUD satu masa dulu adalah strategi pihak tertentu untuk memberi gambaran kepada dunia perihal kejatuhan empayer Amerika. Amerika adalah sebuah negara yang dikatakan memusuhi Islam dan umat Islam lebih-lebih lagi pasca September 11.

 

Ini dikuatkan pula dengan polisi luar Amerika yang berpaksikan fahaman realisme iaitu melemahkan apa saja ancaman yang boleh melemahkan kekuatan US. Antara elemen yang dilihat boleh melemahkan kekuatan US ialah Islam dan Umat Islam. Justeru, selain dari memerangi umat Islam secara ketenteraan, Islam turut diserang dengan perang psikologi dan helah saraf.

 

Berbalik pada penurunan nilai USD suatu ketika dulu, kumpulan berstrategi halus ini merancang untuk mengalih modal umat Islam khususnya dari Amerika ke negara-negara lain sebagai menurunkan kebencian konglomorat Islam terhadap empayer US. Maka mulai 2005 terjadilah mobilisasi modal dari Amerika Syarikat ke negara-negara eropah dan juga timur termasuklah Australia.

 

Maka ekonomi US dilihat sebagai merudum sekaligus menggambarkan seolah-olah kumpulan anti Islam ini menjadi lemah.

 

Apakah itu suatu yang rialiti atau persepsi yang sengaja diwujudkan secara strategik bagi mengaburi umat Islam? Pada pengamatan saya, ia adalah suatu persepsi semata-mata. Maka perlulah negara-negara yang khususnya dikuasai oleh umat Islam memerhatikan suasana hari ini secara bijaksana. Iklim ekonomi yang tidak menentu adalah suatu helah untuk melemahkan kita seterusnya dihenyak semahunya.

 

Di bawah ini saya paparkan akan kekuatan USD yang kini dibina semula. Kajian ini dibuat secara teknikal dengan mengambilkira semua aspek asas atau fundamental yang memungkinkan percaturan itu berjaya.

 

PENINGKATAN USD BERBANDING EURO.

 

Secara jangka panjangnya, EUR pernah mencapai tahap tertingginya berbanding USD pada Julai 2008 iaitu dengan nilai EUR 1 bersamaan USD 1.6037. EUR pernah mengalami tahap terendahnya berbanding USD pada Oktober 2000 iaitu dengan nilai USD 0.8225 berbanding EUR 1.

 

Berdasarkan satu prinsip fiboonacci retracement 38.2%, pada tahap tertinggi EUR dan tahap terendahnya, pencecahan nilai pada USD 1.3053 akan membawa EUR ke tahap terendahnya semula. Nyatanya hal ini telah berlaku pada Oktober 2008. penurunan EUR berbanding USD terus mendominasi pasaran dengan nilainya kini mencecah USD 1.282 berbanding EUR 1.

 

PENURUNAN AUD BERBANDING USD.

 

Hal yang sama turut berlaku kepada nilai AUD berbanding nilai USD. Pada bulan Oktober 1978, nilai AUD 1 adalah USD 1.1896 iaitu nilai tertinggi dalam tempoh 30 tahun. Nilai AUD berbanding USD menurun pada April 2001 dengan nilai AUD 1 bersamaan USD 0.4773.

 

Berdasarkan ukuran yang sama iaitu fiboonacci retracement, nilai AUD akan terus menurun berbanding USD. Satu hal yang lebih ketara, penurunan AUD telah melepasi tahap pertama iaitu pada retracement 38.2%. terbaru AUD telah menurun pada tahap retracement 61.8% yang menguatkan analisa bahawa AUD akan terus mencatatkan penurunannya.

 

Pada September 2008, retracement 61.8% telah dilepasi oleh UD dengan nilai USD 0.7494 berbanding AUD 1. AUD terus merekodkan penurunan iaitu pada nilai terkini semasa penulisan ini dibuat iaitu pada USD 0.6651 berbanding USD 1.

 

Berdasarkan prinsip teknikal fiboonacci yang telah terbukti berkesan dalam menganalisa sesuatu pergerakan nilai tersebut, kedua-dua nilai matawang di atas dijangka akan terus menjunam.

 

Bagaimana halnya dengan matawang negara jiran kita yang digelar Temasik satu ketika dulu? Pada kesempatan yang diizinkan, saya akan cuba membawa penganalisaan terhadap nilai Dólar Singapore berbanding USD dan apakah yang harus kita lakukan dalam memeliharan kedudukan matawang serta sistem kewangan kita. – Mohammad Faizal Che Yusof (Peguambela & Peguamcara)

Wednesday, October 22, 2008

Harga minyak USD60 setong

Berdasarkan kajian teknikel dengan prinsip fiboonacci tracement, harga minyak mentah akan mencecah USD60 setong dalam masa terdekat.

 

Jadi, what to do?

 

Fikir dan renungkanlah.

Warnai MT UMNO dengan sinar Ilmu - (Datuk Ruhani Ahmad)

Tawaran yang dibuat oleh bekas ahli parlimen Parit Sulung, Datuk Ruhani Ahmad bagi merebut kerusi dalam Majlis Tertinggi UMNO wajar diberi perhatian. Datuk Rum saya kenali sejak di Universiti Malaya dalam satu forum sempena karnival sukan pada tahun 1999.

 

Dalam forum tersebut, beliau bersama Mohd Sabu dari PAS telah mengupas pelbagai isu khususnya sukan dan pendidikan. Dalam kesempatan tersebut saya telah mengmukakan secebis pandangan saya tentang peminggiran terhadap OKU oleh IPT-IPT tempatan. Apa yang boleh disimpulkan, kedua-dua panel forum tersebut menunjukkan keprihatinan dan keinsafan mereka. Semoga ianya akan berterusan.

 

Selain itu, pada pengamatan saya, Datuk Rum lebih menilai sesuatu isu berbanding peristiwa. Ini ditambah dengan penilaian berteraskan ilmu, tidak semata-mata emosi.

 

Apa-apa pun, saya berharap kemaraan beliau kali ini dapat memberi kesan yang lebih baik untuk semua seterusnya dapat membawa nilai-nilai kesejahteraan yang mana merupakan antara tuntutan Islam.

 

PETIKAN ASAL tawaran beliau bagi bertanding MT dipaparkan semula di bawah ini:

 

Dengan segala konstrain material dan masa yang ada pada diri saya mutakhir ini, dengan takzim dan rendah hati saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam pemilihan Mac 2009 kelak.

 

Saya mula menganggotai UMNO dalam Bahagian Damansara, Kuala Lumpur, pada 1973. Sebelum berpindah balik ke Parit Sulong, saya pernah menjadi AJK Pergerakan Pemuda UMNO dan AJK UMNO Bahagian Damansara. Saya bertanggungjawab mewujudkan UMNO Cawangan Taman Tun Dr. Ismail.

 

Pada 1983 saya berpindah ke kampung dan menjadi ahli UMNO Bahagian Semerah. Berikitun pemetaan semula kawasan Pilihan Raya pada 1985, saya menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong mulai 1985. Selepas itu saya adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong sehingga 2001. Sesudah itu saya hanya menjadi seorang ahli biasa parti dalam Cawangan Danausari sehingga ke hari ini.

 

Mulai 1990, saya diberi kepercayaan jadi Ahli Parlimen Parit Sulong hingga 2004. Sepanjang tempoh perkhidmatan itu saya jadi Setiausaha BBC selama lima tahun dan Presiden BBC selama empat tahun. Saya juga jadi AJK Persatuan Parlimen Komonwel (CPA) Malaysia sehingga 2002. Terakhir sekali saya jadi AJK CPA pusat beribupejabat di London dan Setiausaha CPA Asia Tenggara. Jawatan ini memberikan pendedahan luas untuk saya meninjau perkembangan dan perjalanan demokrasi di negara-negara komonwel di seluruh dunia, termasuk di Great Britain, Kanada, Trinidad Tobago, Afrika Selatan, Swaziland, India, Bangladesh, Australia dan New Zealand.

 

Pada waktu yang sama, saya menjadi AJK Organisasi Parlimen ASEAN (AIPO) dan menghadiri sidang tahunannya di semua rantau ASEAN. Selain itu, saya adalah AJK Badan Anti-genocide di Bosnia-Herzegovina di mana buku tulisan saya berjaya mengutip lebih RM1 juta untuk Tabung Bosnia.

 

Selanjutnya saya pernah dilantik menduduki Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN II) dan menyumbangkan ide kepada kewujudan Dasan Ekonomi Nasional yang meneruskan semangat, dasar serta prinsip DEB. Di samping itu saya mempengerusikan Majlis ICT Bumiputera dan menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) di Jabatan Perdana Menteri bagi sektor ICT.

 

Demikianlah antara pengalaman saya di samping pernah jadi Pengerusi MARA, Pengerusi Bernas, Timbalan Pengerusi KUB dan juga Ahli Lembaga Pengaran Utusan Malaysia Berhad.

 

Saya insaf keputusan saya ini agak terlambat kerana persidangan perwakilan UMNO bahagian di seluruh negara sudah memulakan sidang sejak seminggu lalu. Bagaimanapun, saya hanya memerlukan 10 pencalonan minima untuk melayakkan diri bagi bertanding kerusi Ahli MT UMNO.

 

Mudah-mudahan seluruh sahabat yang telah mengirimkan e-mail dan buah fikiran menerusi blog ini serta meminta saya menawarkan diri untuk bertanding kerusi Ahli (MT) UMNO dalam pemilihan Mac 2009 ini akan membantu saya memperolehi pencalonan tersebut.

 

Dalam pertndingan ini saya tetap dengan pendirian dan prinsip tidak akan sekali-kali mengamalkan politik wang. Kalau prinsip dan pendirian boleh diterima oleh seluruh warga UMNO, calonkanlah saya dengan seikhlas-ikhlasnya.

 

Saya tidak mempunyai apa-apa manifesto. Tetapi, saya akan sentiasa memperjuangkan idealisme perjuangan agama, bangsa dan tanahair secara konsisten, ikhlas dan jujur. Ini termasuklah perjuangan mempertahankan kedaulatan negara dalam konteks Wilayah Iskandar dan Pulau Batu Puteh. Rekod saya mengenai hakikat ini dapat dibuktikan oleh majoriti tulisan saya dalam blog ini sejak kemunculan blog kudakepang pada pertengahan Jun 2006.

 

Mudah-mudahan saya - seorang calon marhaen yang menawarkan diri atas nama, jiwa dan raga yang serba kekurangan ini - akan menerima sokongan dan dukungan para sahabat budiman seluruhnya. Salam perjuangan dari saya. – Ruhanie Ahmad

 

KEPADA ALLAH BERSERAH.

Tuesday, October 21, 2008

Hargai profesyenal untuk elak projek terbengkalai.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin, ahli parlimen dari Labis telah kemukakan persoalan tentang sistem "bina kemudian jual" yang diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan KPKT sebagai alternatif kepada sistem "jual kemudian bina".

 

Timbalan Menteri KPKT memaklumkan setakat ini hanya satu lesen dikeluarkan bagi sistem bkj. Dalam riaksi ahli parlimen, antara kegusaran yang ditimbulkan termasuklah perihal projek perumahan yang banyak mengalami kegagalan seterusnya terbengkalai.

 

Saya suka untuk berkongsi ke arah menggagalkan sesuatu projek perumahan agar dapat dijadikan panduan dan pedoman. Tidak guna jika kita memberi tekanan kepada kerajaan namun permasalahan sebenar tidak dirungkai.

 

Faktor yang ingin saya kongsikan ini adalah bersifat inklusif kerana banyak lagi faktor yang boleh dikemukakan bagi membungkus sesuatu projek.

 

Kebanyakan pembeli lebih cenderung untuk mendapatkan unit kediaman yang semurah-murahnya dengan sanggup mengenepikan prosedur-prosedur yang sebenarnya menjaga kepentingan mereka.

 

Dalam sistem jual kemudian bina "jkb", pembinaan akan dimulakan setelah adanya pembeli. Rata-rata pembeli sebegini didokongi oleh institusi pembiayaan sama ada kerajaan ataupun bank. Syarikat yang menjual rumah akan membuat tuntutan bayaran berperingkat kepada institusi pembiaya mengikut tahap kerja pembinaan yang dijalankan.

 

Dalam membuat tuntutan pembayaran tersebut, keterangan dokumen "amat" berperanan. Dalam proses ini, beberapa pihak profesyenal akan terlibat sehingga pembayaran dilunaskan.

 

Pada permulaannya, pihak pembiaya akan meneliti dokumen dari arkitek atau jurutera sebagai keterangan tahap kesiapan kerja. Persoalan yang mungkin saja timbul adalah sejauhmanakah perakuan profesyenal tersebut tulus dan benar? Mungkinkah pihak profesyenal tersebut hanya ditekan oleh pemaju disebabkan faktor ingin memperolehi kerja-kerja yang seterusnya?

 

Ini tidak termasuk faktor arkitek dan jurutera hanya bersifat atas kertas kerana segalanya dikawal oleh pemaju atau kontraktor.

 

Seterusnya pembiaya yang hampir sukar untuk melihat sendiri perkembangan di tapak pembinaan hanya akan bergantung kepada perakuan profesyenal untuk melepaskan pembayaran sama ada ke akaun pemaju ataupun akaun peguam sebagai pemegang pertaruhan.

 

Ingin saya bincangkan proses yang melalui akaun peguam. Sebagaimana yang saya sebutkan di atas, kecenderungan pembeli yang hanya mementingkan harga yang murah dan sanggup berkompromi dengan prosedur-prosedur keselamatan akan menyebabkan mereka tidak diwakili oleh peguam secara sebenar.

 

Secara prinsipnya, peguam pemegang pertaruhan perlu menjaga kepentingan pembeli mengatasi kepentingan-kepentingan pihak lain termasuklah kontraktor atau pemaju. Berdasarkan prinsip ini, sewajipnya dua peguam perlu terlibat. Setiap  peguam akan bertindak bagi pihak pembeli dan pemaju secara berasingan. Ini belum mengambilkira peguam ketiga yang akan bertindak bagi pihak pembiaya.

 

Keperluan minimum dua peguam  ini tentunya meningkatkan kos yang perlu ditanggung oleh pembeli. Inilah delema yang sering menjadi faktor kompromi pembeli dan lebih bersedia menjadikan peguam itu bertindak sebagai mediator atau pengimbang kepentingan antara pembeli dan pemaju. Lantaran itu keadaan ini akan menjadikan transaksi tersebut diselia oleh hanya seorang peguam.

 

Bagaimana jika delema yang dialami oleh arkitek dan jurutera yang dinyatakan di atas turut dialami oleh kumpulan peguam ini? Jika keadaan ini berlaku, kemungkinan seliaan yang telah ditetapkan oleh sistem dan prosedur bagi mengelakkan projek terbengkalai akan membuka jalan kegagalan yang kian melebar.

 

Pihak pembiaya, kumpulan-kumpulan profesyenal seperti arkitek, jurutera dan peguam adalah laluan-laluan yang bukan sekadar pemudah cara. Tahap-tahap ini merupakan peringkat tapisan kepada pembayaran yang dibuat agar pembinaan sebenar dijalankan. Justeru, belajarlah menghargai peranan setiap individu dan hargailah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap kumpulan profesyenal kuhsusnya dan tidak hanya menawarkan bayaran perkhidmatan yang melampau tahap kerendahan yang munasabah. – Mohammad Faizal Che Yusof.

Monday, October 20, 2008

Press Release

Recent Appointments of the Chief Justice of Malaysia, the President of the Court of Appeal and the Chief Judge of Malaya

 

The important appointments of Tan Sri Dato' Zaki bin Tun Azmi, Tan Sri Dato' Alauddin bin Dato' Mohd. Sheriff and Dato' Arifin bin Zakaria to the top three positions in the Judiciary have now been made after consultation with the Conference of Rulers.

 

Concerns have been expressed in relation to Tan Sri Dato' Zaki's political affiliations and business connections. These concerns can only be dispelled by him through the conduct of his duties and by a demonstration of independence and impartiality at all times. The Bar will always defend the independence and integrity of the judiciary and is ever vigilant that the doctrine of the separation of powers be upheld.

 

We hope that, with these three appointments, the agenda for reform of the Judiciary will be advanced in the interests of the nation. We also hope that, among other steps for reform, they will wholeheartedly support the setting up of a Judicial Appointments Commission that involves all stakeholders in the justice system.  

 

Dato' Ambiga Sreenevasan

 

President Malaysian Bar  

 

17 October 2008

Sunday, October 12, 2008

Senyum sajalah, tak yah lah marah-marah.

Ya Tuhan, ampuni aku dan hindari aku dari kejahilan. Membaca laporan bertajuk Gerakan proposes fuel prices be revised weekly menjadikan saya amat kesal. Tak lah pula saya sangka ada cadangan sebegini dari sebuah parti yang selama ini saya berminat untuk mengikuti perkembangannya.

 

Perihal harga minyak ni lucu memang lucu. Ada ke dibuat macam kedai runcit kampung. Bacalah saja di sini.

 

Saya hanya mampu senyum sendiri.

Syoknya menyanyi dan menari, baru boleh maju.

Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang dikurniakan kepada Shah Rukh Khan tiada apa yang memeranjatkan. Thestar Online yang melaporkan dalam berita bertajuk People just Khan believe it! Memaparkan betapa penganugerahan tersebut memberi kejutan kepada kebanyakan rakyat.

 

Penganugerahan ini sebenarnya menguatkan lagi menifestasi kepada betapa hiburan menjadi elemen utama dalam kehidupan rakyat Malaysia. Tak kira latar belakang dan sempadan tempat, setiap apa yang ingin dijayakan mesti bertitiktolak pada hiburan. Janganlah buat sesuatu atur anjurkan sesuatu jika tiada hiburan.

 

Cendikiawan dan ahli fikir telah memberi petunjuk bahwa hiburan yang keterlaluan hanya akan melemahkan minda. Mungkin telahan atau pendapat ini tidak benar. Jika benar, takkanlah pengiktirafan yang begitu tinggi diberikan kepada dunia hiburan?

 

Negara kini dalam menuju wawasan 2020. tinggal 12 tahun saja lagi untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara maju. Ingat, negara maju ni bukan sekadar kita pandai menggunakan kemajuan teknologi canggih yang datang dari luar. Lebih dari itu, kemajuan teknologi itu hendaklah tercipta dalam negara dan lebih-lebih lagi oleh anak tempatan. Anak tempatan bukan hanya bermaksud melayu tetapi  turut merangkumi cina, india, kadazan, iban, melanau, dan sebagainya.

 

Mungkin saya tidak sedar betapa banyak sudah ciptaan-ciptaan berteknologi canggih atau penemuan terkini dalam pelbagai aspek oleh anak tempatan. Yang menjadi saya tidak sedar tu sebab di sekeliling saya semuanya teknologi luar. Kereta mewah dan enak serta mahal semuanya dari luar. Alatan komunikasi khususnya untuk orang buta semua dari luar. PDA yang saya guna pun datangnya dari luar.

 

Kalau berita perihal jihad pula, ini yang boleh saya katakan. Saya menyebut perihal jihad kerana orang Islam diajak untuk berjihad atau bersungguh-sungguh membela agama. Tak kiralah UMNO ke, PKR ke, mahupun PAS, semuanya mengajak untuk orang Islam berjihad. Nak berjihad macam mana kalau jiwa saya sendiri pun lemah. Tak tahu lah orang lain.

 

Buka saja radio, dari pagi sejak sebelum subuh hinggalah nak tidur sebelum ayam berkokok, hanya lunakan yang membuai jiwa menceroboh masuk dalam gegendang telinga. Kalau tak lagu-lagu tanpa henti, celoteh galak juruhebah yang tak pernah suram sahajalah yang kedengaran. Adalah jarang sekali terdengar suara azan dan tazkirah yang budak-budak di Taman Asuhan Kanak-kanak Islam pun boleh sampaikan.

 

Ah, nak bangun dan bangkit macam mana kalau begini seterusnya! Tak laratlah nak cari jalan cipta teknologi baru atau penemuan terkini agar harga minyak dapat distabilkan bagi tempoh 30 tahun akan datang. Biarlah harga minyak tu melambung hingga RM5 seliter pun. Barang di Maidin kan murah!

 

Wawasan 2020? Alaaah, kita beli tekonolgi luar, bawa masuk ke dalam negara. Jadi kita lah yang punya. Kan kita dah ada angkasawan negara yang selalu keluar dalam iklan di radio-radio tu! Tengah syok dengar lagu, dengar suara Dr. SMS mengiklankan Kementerian Pelajaran. Ok lah tu!

 

Hmmm, tak tahulah nasib anak cucu akan datang. Nak buat business plan bagi merancang kelangsungan keluarga pun rasanya tak perlu kot. Tengok glc dalam negara tu macam takda business plan je. Ada peluang jalan, takda peluang, relax dulu.

 

Renung dan fikirkan lah luahan hatiku ini. – Mohammad Faizal Che Yusof.

Thursday, October 9, 2008

Pertis Kelantan di pejabat YAB MB.

Kota Bharu, 8 Oktober, 8 Syawal – suatu kunjungan hormat oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) telah dilakukan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan dekat sini hari ini.

 

Dalam pertemuan tersebut, YAB MB telah diwakili oleh Setiausaha Sulit beliau iaitu Hj. Nik Azlan Abdul Hadi. Manakala Pertis Kelantan diwakili oleh kepimpinan negeri yang diketuai oleh pengerusi Pertis Kelantan En. Darus Daud.

 

Dalam pertemuan yang berlangsung hamper satu jam tersebut, Pertis Kelantan telah mengambil kesempatan untuk memperihalkan gerak kerja Pertis Kelantan dalam usaha memberi kefahaman tentang Islam kepada OKU penglihatan di Kelantan.

 

Antara isu yang dibincangkan termasuklah gunatenaga di kalangan OKU, pendidikan dan akses kepada kemudahan awam di negeri tersebut. Nik Azlan turut dimaklumkan perihal aktiviti Pertis Kelantan termasuklah qiamulail yang dijalankan dari semasa ke semasa.

 

Pertis Kelantan telah memohon kepada kerajaan negeri untuk turut sama-sama memberi dokongan dalam apa jua bentuk sebagai sokongan padu kepada gerak kerja yang dijalankan oleh Pertis Kelantan.

 

Pertemuan tersebut adalah diharapkan oleh kedua-dua pihak sebagai satu kelangsungan usaha bagi meletakkan kefahaman Islam di kalangan OKU penglihatan khususnya dan masyarakat umunnya ke tahap yang lebih baik. – Mohammad Faizal Che Yusof (Setiausaha Biro Tugas-tugas khas Pertis)

Tuesday, October 7, 2008

Tembikai dipotong untuk sahur menerbitkan kalimah Allah.

Tiada kata-kata melainkan hanya deraian air mata membasahi wajah yang menatap kebesaran Ilahi. Demikianlah pengalaman seorang ibu kepada seorang anak yang berumur setahun ini.

 

Norhayati Safein 25 amat terpegun bilamana memandang kalimah Allah pada tembikai yang dipotong untuk dijadikan pencuci mulut semasa sahur. Sebaik terlihat kalimah tersebut, beliau lantas mengejutkan suaminya Adnan Yatim untuk sama-sama menginsafi kerdilnya makhluk bergelar manusia bila berhadapan dengan kebesaran Allah S.W.T.

 

Dengaan esak tangis yang belum reda, Norhayati terus menghubungi ayahnya menceritakan pengalaman yang dialami. Demikian kisah yang disampaikan oleh adiknya Norlizawati kepada saya.

 

Adnan Yatim suami Norhayati yang bertugas di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan Ipoh Perak memaklumkan kejadian tersebut berlaku lebih kurang seminggu sebelum hari raya baru-baru ini.

 

"Isteri saya terus menggerakkan saya sebaik beliau melihat kalimah tersebut di permukaan tembikai yang dipotongnya. Tembikai tersebut kami beli di sebuah pasaraya di Ipoh."

 

Semoga paparan ini dapat mendidik hati kita untuk terus meningkatkan ketaqwaan kepada Ilahi dengan mematuhi segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. – Mohammad Faizal Che Yusof

Monday, October 6, 2008

OKU perlu bersatu suara untuk kepentingan bersama.

Ruang ini saya ambil kesempatan untuk menyatakan beberapa hal tentang OKU untuk disebarluaskan sempena sidang parlimen yang akan bermula pada 13 Oktober 2008. sebagaimana dimaklumi, antara agenda utama sidang parlimen kali ini ialah pembahasan tentang Rang Undang-undang Perbekalan Bagi Tahun 2009 yang dibentangkan pada 29 Ogos yang lalu.

 

Disebabkan pembentangan belanjawan merupakan suatu dasar perlaksanaan pembangunan untuk tempoh setahun, meskipun isi kandungannya tidak mendalam dalam membincangkan sesuatu hal, perhatian mestilah diberikan agar keperluan rakyat yang berkaitan dapat dipenuhi seberapa mungkin.

 

Demikianlah menyentuh isu-isu OKU. Jika diperhatikan, tiada suatu petunjuk jelas yang mengkhususkan program kerajaan dalam membangunkan OKU lebih-lebih lagi dalam era pasca pewartaan Akta OKU 2007 pada 7 Julai yang lalu. Hanya satu perenggan yang memberi sedikit gambaran tentang keprihatinan kerajaan terhadap golongan OKU yang seharusnya tidak dipandang mudah oleh ahli parlimen. Isi kandungan belanjawan yang khusus tentang OKU adalah sebagaimana berikut:

 

Membantu Golongan Kurang Bernasib Baik

 

52. Pada masa ini, bagi menggalakkan orang kurang upaya (OKU) bekerja, Kerajaan menyediakan elaun bulanan tiga ratus ringgit kepada mereka. Menyedari ada di antara OKU yang tidak berupaya bekerja, Kerajaan akan memberi elaun 150 ringgit sebulan kepada mereka. Di samping itu, elaun murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah daripada 50 ringgit kepada 150 ringgit, sementara bayaran insentif dua ratus ringgit sebulan disediakan untuk pembantu guru di sekolah berkenaan.

 

Sama ada perenggan di atas bersifat memberi ikan atau pancing kepada OKU, itu perlu dihalusi. Bagi membangunkan OKU, tidak hanya prihatin lantas memberi ikan. Sebaliknya perancangan mantap amat perlu agar dasar memberi kayu pancing kepada OKU itu dipenuhi bagi menjamin pembangunan sahsiah OKU yang berterusan.

 

Selain itu, isu-isu tentang kehidupan seharian OKU yang dikelilingi pelbagai masalah seperti gunatenaga, penempatan dan perumahan, pengangkutan, akses kepada tempat-tempat awam serta persoalan kekeluargaan harus diberikan perhatian sewajarnya.

 

Melalui penguatkuasaan Akta OKU 2007, suatu antiti yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Bagi OKU telah dibentuk bagi memelihara kepentingan dan kelangsungan pembangunan OKU di Negara ini. Sebahagian hasrat penubuhan Majlis tersebut telah dilaporkan oleh Bernama sebagaimana berikut:

 

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) yang berperanan membantu kerajaan membangunkan golongan tersebut….

 

…. Ng berkata majlis yang ditubuhkan 1 Ogos lepas berfungsi menyelia, menyelaras dan memantau pelaksanaan Dasar Negara dan Pelan Tindakan Negara yang ada hubungan dengan OKU.

 

"Penubuhan majlis itu adalah bagi menyalurkan maklumat serta cadangan program, memantau dan menilai kesan dasar yang dilaksanakan," katanya semasa mempengerusikan mesyuarat pertama majlis itu di sini, hari Khamis.

 

Beliau berkata majlis itu menggantikan Majlis Penasihat dan Perundingan bagi OKU yang ditubuhkan pada 1998….

 

Jika diperhatikan dalam Akta 2007, Majlis ini diberi kuasa yang amat luas dalam memastikan pembangunan OKU berjalan lancer. Justeru, adalah disandarkan harapan kepada sekalian ahli parlimen untuk memastikan keanggotaan Majlis ini benar-benar memenuhi aspirasi OKU seterusnya dapat memainkan peranan yang baik. Dalam hal ini, amatlah diharapkan agar sidang parlimen dapat menjadi ruang check and balance kepada kerajaan dalam memastikan Majlis ini berfungsi dengan sepenuhnya.

 

Adalah amat tidak enak sewaktu Akta 2007 tersebut dibahaskan untuk diluluskan, tidak seorang pun ahli dewan rakyat yang bangun untuk membahaskannya. Saya penuh yakin bahawa sekalian ahli parlimen bukanlah meminggirkan golongan OKU dalam agenda politik mereka. Dengan pelbagai sebaran media pada hari ini, tentunya tanggungjawab ahli parlimen itu lebih mencabar dalam mendapatkan sebarang maklumat mengenai rakyat yang mereka dipertanggungjawabkan.

 

Saya juga amat mengalu-alukan sebarang komen dan cadangan agar dapat dipanjangkan kepada mana-mana ahli parlimen seterusnya dibawa ke dewan untuk dibahaskan.

 

Meskipun suasana politik yang dikatakan berada dalam keadaan yang tidak menentu pada masa kini, saya tetap memberi penuh kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan yang ada demi membangunkan OKU dari sudut rohani dan jasmani.

Sunday, October 5, 2008

Cukup aku cacat di dunia, jangan jadikan aku hamba yang pengecut ya Tuhan!

Cuba baca petikan yang sumber asalnya di sini. Tidak mudah untuk menjadi berani menegakkan pendirian.

 

Sejurus selepas tengah malam 16 September, 2008, sekumpulan  komando tentera laut Perancis digugurkan dengan payung terjun di tengah laut.

 

Tenggara Somalia berhampiran dengan Carré d'As sebuah kapal layar yang telah ditawan. Serangan hendap komando tentera tersebut di bawah pengendalian frigat le Courbet dari angkatan laut Perancis yang mengawasi dan membuat pemerhatian secara dekat Carré d'As selama 10 hari.

 

Perancis menghantar tentera lautnya sejurus selepas kapal layar milik warganya ditahan lanun.

 

Pada 19 Ogos, kapal MV Bunga Melati 2 milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC)  telah ditahan lanun di perairan yang sama.  

 

Sepuluh hari kemudian sebuah lagi kapal tangki milik MISC, MV Bunga Melati 5 pula dirampas lanun dari kumpulan yang sama.  

 

Aktiviti pelanunan di perairan Somalia telah menjadi satu industri, bermula sejak Somalia mengalami krisis perang saudara pada awal 1990.

 

Lanun moden (gambar kanan) abad ke 21 itu mempunyai modus operandi yang tersusun dimana 8 hingga 10 orang menaiki bot super laju lengkap dengan senjata canggih melakukan serbuan ke atas kapal-kapal.  

 

Kapal yang ditawan akan dibawa ke pelabuhan Eyl, Puntland, satu kawasan di utara Somalia yang telah mengisytiharkan merdeka dari Somalia pada tahun 1998.

 

Kapal yang dirampas akan dikawal oleh 50 orang bersenjata diatas kapal, manakala 50 orang lagi didaratan, sementara menunggu bayaran wang tebusan.

 

Di daratan Eyl, terdapat sebuah kafe yang menyediakan makanan untuk para tebusan. Pada satu ketika kafe tersebut menyediakan makanan kepada 200 orang tebusan.

 

Pada tahun lalu, lanun telah mendapat hasil sebanyak USD20 juta (RM70 juta) dari pembayaran wang tebusan yang mereka perolehi.  

 

Tentera Perancis telah bertindak melakukan serbuan sebelum kapal di bawa ke pelabuhan Eyl, kerana lebih mudah mengalahkan lanun yang merampas kapal dalam kumpulan kecil.  

 

Operasi 10 minit komando terlatih Perancis telah berjaya menyelamatkan warga Peranchis yang dijadikan tebusan, membunuh seorang lanun dan menahan enam yang lain, dan menjimatkan 1 juta Euro (RM 4.8 juta) wang tebusan yang diminta oleh lanun berkenaan.

 

Setelah dua buah kapal milik MISC dirampas lanun, pada 2 September Menteri Pertahanan Dato' Seri Najib Tun Razak memberitahu, kerajaan telah menghantar kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan pasukan komando ke Teluk Aden berhampiran perairan Somalia dan Yemen bagi melindungi empat buah kapal MISC di kawasan tersebut.

 

Kemudian pada 4 September sebuah lagi kapal perang jenis patrol pantai TLDM, KD Pahang dihantar untuk mengiringi frigat KD Lekiu dan KD Inderapura.  

 

Apabila 3 buah kapal perang beserta komando TLDM dihantar dan ianya di dedahkan oleh Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Perdana Menteri, maka terbayang diseluruh rakyat tentang kecekapan PASKAL sebagaimana propaganda yang sering ditunjukkan ketika menyertai sebarang latihan.  

 

Pasti PASKAL yang cekap akan bertindak sebagaimana komando tentera laut Perancis, masuk menyerbu secara senyap dan membebaskan tebusan sekaligus menyelamatkan wang tebusan sebanyak USD4 juta (RM13.6 juta) sebagaimana yang diminta oleh lanun.

 

Sekiranya ada yang terkorban dikalangan kelasi atau PASKAL semasa serbuan dibuat, maka mereka akan dianggap 'gugur syahid' kerana menentang musuh Negara dan mempertahankan maruah dan harga diri !

 

Jasad mereka akan disambut dengan penuh istiadat oleh ribuan rakyat sebagaimana menyambut wira-wira negara yang lain.

 

Namun  bukan dalam semua soal boleh diguna pakai 'Malaysia Boleh'!!

 

Najib menafikan akan ada tindakan ketenteraan untuk membebaskan dua kapal MISC Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 yang di rampas lanun dan menjadikan seluruh rakyat tertawa dan gelihati.

 

Apa tidaknya, Najib kata tugas komando PASKAL yang paling cekap dilaut itu, dengan 2 buah kapal perang frigat dan sebuah kapal patrol, dihantar beribu batu jauhnya dan memakan belanja yang begitu banyak,  semata-mata hanyalah untuk memerhati dan menerima tebusan bila mereka di bebaskan dan mengiringi kapal-kapal tersebut balik bila episod rampasan itu berakhir.

 

Dan akhirnya TLDM dan komando PASKAL hanya menjadi tentera yang menyerahkan wang tebusan kepada lanun, bukan yang membuat serbuan membebaskan tebusan !

 

MV Bunga Melati 2 Kapal tangki kedua MISC dibebaskan selepas MV Bunga Melati 5 dibebaskan dua hari lebih awal.

 

Walaupun Pengerusi MISC Hassan Merican mengatakan jumlah wang tebusan dirahsiakan untuk keselamatan, namun Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Kol Fadzlette Othman Merican memberitahu sebanyak USD4 juta (RM13.6 juta) telah diberikan kepada lanun Somalia.

Pembangkang yang cemerlang, kerajaan yang gemilang, kemiskinan yang terbilang.

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara

manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya

Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (An-Nisaa' 58)

 

Berakhirnya solat tarawih dan disudahi dengan witir sepanjang qiamulail malam ke-30 bermakna kian rancaklah tumpuan umat Islam bagi menyambut datangnya Syawal. Tidak mengira kaya atau miskin, suasana gembira kelihatan di mana-mana sahaja. Kegirangan menyambul hari mulia terpapar di setiap wajah tanpa mengira ceruk rantau.

 

Sebaik munculnya fajar Syawal, terdengarlah laungan takbir di mana-mana membesarkan Tuhan yang mencipta alam ini. Tidak mengira fahaman politik, idiologi, dan batasan sempadan, seluruh umat Islam melafazkan kalimah takbir yang sama.

 

Sebaik selesai solat iedil fitri dan mendidik jiwa melalui khutbah yang didengar, umat Islam mula menziarahi antara satu sama lain. Kaum keluargalah yang diutamakan dalam jadual ziarah setiap insan bergelar muslim.

 

Sepanjang ziarah itu pelbagai cerita pahit dan manis serta pengalaman suka dan duka silih berganti meniti di bibir-bivir sebagai saling mengambil tahu antara satu sama lain.

 

Apa yang ingin saya kongsikan di sini antara kisah yang diluahkan termasuklah perlakuan sosial yang seharusnya dibendung agar tidak terus menular. Bercerita tentang usaha membantu simiskin dan yang kurang upaya serta agihan wang bantuan, terdengar di mana-mana akan rasa tidak puas hati oleh mereka yang memerhati. Golongan yang sepatutnya dibantu dan diberi agihan tidak menerima peruntukan yang sewajarnya.

 

Antara keluhan yang terdengar termasuklah penafian agihan tersebut didorong oleh rasa kepuakan dalam masyarakat. Oleh kerana simiskin atau golongan yang layak itu bukan dari kumpulan "aku", tak payahlah dia diberi bantuan. Mereka itu "dari parti lain", bantuan pun dinafikan dan dibeza-bezakan.

 

Sama ada pihak yang melantik wakil-wakil di kampung-kampung yang dikenali sebagai ahli jawatankuasa keselamatan kampung sedar atau tidak perihal tersebut, nyata ketidakadilan telahpun berlaku.

 

Dalam apa saja peringkat, kepimpinan itu bukanlah suatu kemegahan atau kebanggaan. Ia adalah suatu amanah yang akan dipertanggungjawab di akhirat kelak.

 

Tidakkah mereka yang terlibat sedar akan tuntutan Islam dalam ayat di atas? Setiap amanah hendaklah dipertanggungkan kepada mereka yang ahli sahaja. Mereka yang ahli tersebut bermakna mereka yang layak dalam aspek kepimpinan sejati. Mereka yang dapat melakukan keadilan dengan sewajarnya. Keadilan bukanlah dilakukan dengan dibataskan kepada kaum keluarga, sahabat handai ataupun penyokong puak semata-mata.

 

Renungilah dengan keinsafan bahawa Semarang peruntukan untuk diagihkan kepada rakyat yang layak ádala untuk meringankan beban. Semua dari kita tahu akan kemiskinan yang berleluasa dalam negara. Mengecilkan jurang seterusnya menghapuskan kemiskinan adalah tanggungjawab masyarakat seluruhnya.

 

Rasul Allah S.W.T. sendiri banyak mengajar kita agar kita memohon perlindungan dari dilanda kemiskinan. Terlalu bahaya kemiskinan yang tidak dibendung. Tidak setakat kehidupan yang melarat, aqidah mungkin saja tergugat dek kemiskinan yang terlalu menghimpit.

 

Dalam usa inilah ingin saya lontarkan bahawa kemiskinan akan terus membataskan seseorang itu dari melakukan kebaikan sesama manusia. Silatulrahim antara keluarga akan turut luntur kerana kemiskinan. Situasi ini tentunya akan menambahkan kelemahan kita dalam memenuhi tuntutan Islam agar hubungan baik sesama manusia lebih-lebih lagi hubungan antara kaum kerabat diperelokkan.

 

Allah berfirman yang maksudnya:

 

"Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya." (Al-Baqarah 83)

Barangkali ada antara kita yang tidak sedar tak kurang juga di kalangan kita yang terpaksa terus berhempas pulas di hari mulia untuk menyambung nyawa mereka dan keluarga. Hari raya bagi mereka tidak lebih dari satu syariat agama bagi mereka menghambakan diri kepada Allah Tuhan yang maha berkuasa.

 

Justeru, semua pihak yang berkenaan perhatikanlah sekeliling kita dengan setulus hati. Kuasa yang dipikul akan dipersoal di hari yang mana tidak berguna sesenpun kuasa tersebut melainkan ketaqwaan kita kepada Nya. Janganlah kita berpolitik di luar kerangka sebenar yang mana hanya akan merugikan kelangsungan pembinaan masyarakat yang gemilang.

 

Kepada ahli-ahli politik jadilah "pembangkang yang cemerlang, kerajaan yang gemilang, kemiskinan yang terbilang". Kemiskinan kini berada di mana-mana. Marilah kita sama-sama berganding bahu agar kemiskinan dapat dihapuskan dan bíarla tinggal sisa-sisanya yang dapat dibilang dengan hanya sébela tangan.

Friday, October 3, 2008

Jangan lentur semangat Ramadhan demi mendaulatkan Islam.

Saya tertarik dengan pengisian artikel di bawah ini yang bertajuk Gerakan Islam tidak wajar mengkhianati perjanjian. Semoga setiap dari kita beroleh manfaat dan semoga Allah mencucuri rahmat kepada penulisnya, Mohsin Abdullah.

 

"Pada hari Kami (Allah) bangkitkan pada setiap ummah seorang saksi ke atas mereka dari kalangan mereka sendiri, dan Kami (Allah) datangkan engkau (ya Muhammad) sebagai saksi ke atas mereka ini, Kami turunkan ke atas engkau al-Kitab (al-Quran) bagi menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah dan Rahmat serta khabar gembira bagi muslimin.

 

"Sesungguhnya Allah memerentah agar dilaksanakan keadilan serta melakukan kebajikan (ehsan), membantu kaum-karabat , dan menegah daripada kefasadan, kemungkaran dan kezaliman. Dia (Allah) mengajar kamu semoga kamu mendapat peringatan.

 

"Sempurnakanlah janji Allah, bila kamu berjanji dan jangan kamu merosakkan sumpah sesudah kamu memperkukuhkannya, padahal kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin (bagi sumpah tersebut), sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan."

 

"Dan janganlah kamu menjadi seumpama perempuan yang menguraikan tenunan selepas dia selesai memintalnya dengan kukuh, dan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeterai) di antara kamu, sebabkan adanya kumpulan lain yang lebih ramai daripada kumpulan itu, sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu dan Dia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari Qiyamat, apa yang kamu berselisih padanya." Surah an-Nahl, ayat 89-91

 

Dalam ayat 89, Allah menjelaskan peranan kita, pendukung Islam, kita berperanan sebagai syahid (saksi) yang menjadi bench-mark yang menjadi rujukan pedoman  kepada manusia sezaman dan setempat dengan kita, dan bench-mark yang menjadi pedoman rujukan kita pula adalah Rasulullah s.a.w sendiri.

 

Kita seakan-akan berperanan sebagai rumah-api (light-house) yang menjadi pedoman rujukan bagi mereka yang mungkin tersasar sesat dalam pelayaran di lautan luas , pada malam yang gelap. Secara prinsipnya kita mesti teguh di atas tapak nilai-nilai baik yang tidak berubah, walaupun gelora perubahan di lautan luas semakin menganas, kita tetap teguh sehingga kerana itulah kita mampu menjadi pedoman rujukan kepada mereka yang dikendung perubahan demi perubahan.

 

Allah juga memperingatkan tentang peranan al-Quran dalam kehidupan kita, kita akan mendapati pertunjuk daripada al-Quran dalam semua perkara, permasalahan dan keadaan. Walaupun ayat al-Quran yang sama, ia akan membawa pancaran intuisi yang sesuai dengan keadaan yang berbeza yang kita sedang hadapi.

 

Al-Quran memberi kita hidayah dengan suruh dan larang di dalamnya, dengan pengkisahan dan tamsilannya, dengan tafakkur dan limpahan pemahaman terhadap ayat-ayatnya.

 

Al-Quran membawa berita gembira tentang kemanisan hubungan kita dengan Allah, membawa berita gembira dengan balasan yang berlipat-ganda di atas iman dan amal kebajikan, berita gembira dengan kemenangan kita secara peribadi dan kelompok sekiranya kita bergantung kepada-Nya, berita gembira dengan sentuhan yang memujuk jira daripada jiwa ayat-ayatnya.

 

Al-Quran yang menjadi rujukan teratas kepada kita dalam semua segi, sebagai firman Allah pada ayat 10 surah as-Shura:

 

Dan apa juga perkara yang kamu semua berselisih tentangnya, maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah, demikianlah (kekuasaan) Allah, Tuhanku, kepada-Nya aku berserah, dan kepada-Nya lah aku merujuk kembali.

 

Dalam ayat 90, Allah menjelaskan konsep kebajikan yang perlu kita hayati dan jayakan di dalam kehidupan kita.

 

Kita perlu menegakkan keadilan, menghayati sifat ehsan dalam semua perkara, membantu kaum-kerabat.

 

Kita juga perlu berusaha mencegah kefasadan, kemungkaran dan kezaliman dalam semua aspek pada setiap peringkat.

 

Semua tugasan ini perlu dilaksanakan oleh setiap individu muslim secara perseorangan, dan diusahakan di peringkat yang lebih luas secara berkelompok.

 

Inilah peranan yang menjadikan ummah pedoman rujukan kepada manusia lain. Kita patut berdiri tinggi dalam menjayakan tugasan-tugasan ini sehingga mampu dijadikan contoh-tauladan kepada manusia yang lain.

 

Amalan kita sepatutnya lebih lantang dan jelas daripada perkatan-perkataan yang kita tuturkan sebagai polemik semata-mata.

 

Firman Allah, maksudnya;

 

Oleh kerana yang demikian, serulah mereka (kepada keimanan), beristiqamah kamu (dalam melaksanakan tanggung-jawab agama) sebagaimana yang kamu telah diperentahkan, dan jangan kamu mengikut kehendak hawa-nafsu mereka, Dan katakanlah : "aku beriman dengan segala kitab apa yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintah supaya bertindak adil di antara kamu, Allah adalah Tuhan kami, dan Tuhan kamu. Bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalan kamu, tida pertengkaran antara kami dan kamu. Allah akan menghimpunkan antara kita bersama (selepas kematian untuk diadili) dan kepada-Nya lah tempat kembali."

 

(Surah as-Shura. ayat 15).

 

Konsep dan amalan kebajikan pada tahap perseorangan dan masyarakat sangat-sangat ditekankan.

 

Di waktu yang sama, kefasadan, kemungkaran dan penzaliman dalam semua rupanya hendaklah ditegah.

 

Sekiranya dibentuk kerajaan, maka pemerentahan Islam jugalah akan berperanan sebagai Kerajaan Yang Berkebajikan., kerajaan yang menyubur perkara makruf serta mencegah kemungkaran. Allah memperingatkan kita agar kita tidak tergelincir daripada landasan dan tujuan ini.

 

Dalam ayat 91, Allah menjelaskan kepada kita peri mustahaknya kita berpegang kepada sumpah dan perjanjian yang telah kita capai kesepakatannya. "Perjanjian Allah? ditafsir oleh ulama sebagai sumpah yang dibuat menggunakan nama Allah, nazar dan perjanjian sesama manusia yang seiring dengan kehendak syarak, Kita hendaknya sentiasa sedar yang Allah amat mengetahui segala semua gerak zahir dan gerak hati kita,

 

Dalam ayat 92, ulama tafsir mengatakan perbuatan perempuan itu adalah perbuatan yang bodoh, dan itulah perumpamaan orang yang ingin merubah sumpah-perjanjian dengan satu pihak kerana pertimbangan berdasarkan 'tawaran' dari pihak yang lain yang mempunyai keanggotaan yang lebih ramai.

 

Mungkin akan terdapat perselisihan dalam strategi di antara kita tentang kewajaran membatalkan sumpah-perjanjian itu, antara sokongan dan bangkangan, sehingga Allah menyebut yang Dia akan menerangkan perkara yang sebenarnya di Hari Akhirat kelak tentang apa yang diperselisihkan.

 

Tetapi tindakan membatalkan sumpah-perjanjian kerana terpesona dengan kelebihan angka anggota dan kelebihan kebendaan telah ditempelak oleh Allah, bilangan anggota dan kelebihan kebendaan lain itu adalah sebenarnya ujian kepada kita semada kita akan berjaya berpegang kepada sumpah-perjanjian yang telah kita ungkapkan atau kita akan kecundang kerana godaan-godaan kelebihan kebendaan.

 

Lihat bagaimana Allah dengan jelas mengajar supaya kita menjujung perjanjian dan kesefahaman yang telah dicapai, kita tidak akan mengkhianati perjanjian dan persefahaman,. Lihatlah firman Allah, maksudnya;

 

"Orang-orang yang beriman tetapi tidak berhijrah (ke Madinah), tiadalah kamu (Ya Muhammad) bertanggung-jawab mentadbir mereka sedikitpun, sehinggalah mereka berhijrah. Jika mereka (orang Islam yang belum berhijrah itu) memohon bantuan kamu dalam urusan agama, maka kewajiban kamu menolong mereka, kecuali terhadap kumpulan yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka, Allah Maha Melihat apa-apa yang kau kerjakan?

 

(Surah al-Anfal, ayat 72).

 

Serangan terhadap pihak bukan Islam yang telah mempunyai perjanjian dengan pihak Islam dilarang walaupun orang-orang Islam di bawah penguasaan mereka itu telah meminta bantuan.

 

Pihak Islam hendaklah berusaha untuk mengislahkan keadaan dan hubungan di antara pihak penguasa bukan Islam dan orang-orang Islam di bawah penguasaan mereka.

 

Lihat bagaimana menariknya ulama tafsir memahami kepentingan pengajaran dalam ayat ini.

 

Lihatlah bagaimana Islam mengajar kita agar berpegang teguh kepada perjanjian selepas kita meterai perjanjian. Bagaimana mungkin pihak Islam mendahului pihak lain dalam mengkhianati kemuafakatan dan perjanjian.

 

Pihak Islam akan mengabaikan butir-butir sebarang perjanjian dan kesepakatan hanyalah selepas lain telah terlebih dahulu melanggar butir-butir perjanjian itu, sebagaimana perjanjian-perjanjian yang telah dibuat oleh Rasulullah dengan pihak Quraisy dan pengikut yahudi.

 

Lihatlah pimpinan Islam yang begitu 'principle-centered', yang tidak akan mengabaikan prinsip kesepakatan kerana dorongan perolehan duniawi.

 

Allah memperingatkan kita tentang peristiwa Nabi Musa dan Nabi Harun, baginda berdua telah berdoa agar diruntuhkan pemerentahan kerajaan Firaun yang zalim.

 

Allah telah menurunkan wahyu yang doa mereka dimakbulkan, walaupun ulama tafsir mengatakan jarak masa baginda berdua berdoa dengan kehancuran kerajaan Firaun itu adalah 40 tahun.

 

Firman Allah yang bermaksud:

 

"Sesungguhnya telah diperkenankan doa kamu berdua, maka beristiqamahlah dan jangan dituruti jalan orang-orang yang tidak berilmu." (Surah Yunus ayat 89).

 

Setelah Allah memperkenankan doa baginda berdua dan sebelum keruntuhan kerajaan Firaaun berlaku secara fizikalnya, Allah memperingatkan kedua Nabi ini supaya menghayati dua perkara asas yang sangat penting, iaitu;

 

1. Istiqamah dalam penghayatan agama dan kerja-kerja dakwah.

 

2. Jangan dituruti jalan pemikiran, jalan tindakan, jalan kemunasabahan yang didatangkan oleh orang-orang yang tidak berilmu.

 

Sekurang-kurang syarat ilmu itu ialah mengetahui yang kehidupan akhirat itu lebih utama daripada kehidupan dunia, perkiraan syarak lebih utama daripada jangkaan keuntungan dunia dan mempunyai keyakinan yang Allah lah yang akan menentukan segala sesuatu serta keredaan-Nya yang dicari.

 

Allah juga memperingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud;

 

"Taat (patuh kepada perentah Allah dan Rasul)9 dan perkataan yang makruf (lebih baik bagi mereka). Apabila telah tetap sesuatu urusan, maka jika mereka membenarkan (suruhan) Allah, itu adalah lebih baik bagi mereka.

 

Apakah kiranya jika kamu menjadi pihak berkuasa, kamu akan berbuat bencana di muka bumi dan kamu akan memutuskan silaturrahim? (Surah Muhammad, ayat 21-22)

 

Sepatutnya penguasaan di muka bumi oleh pihak yang mempunyai kesedaran Islam bertujuan, sebagai firman Allah yang bermaksud;

 

"Orang-orang yang jika Kami (Allah) memberi keteguhan di muka bumi12, mereka mendirikan sembahyang, membayar zakat serta menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar. Dan kepada Allah terserah akibat semua pekerjaan." (Surah al-Haj, ayat 41).

 

Allah telah memperingatkan kita dengan kisah Nabi Yusuf yang ketika dilantik menjadi penguasa di Masir, baginda telah berdoa. Doa inilah sepatutnya dibaca oleh setiap muslim yang diangkat menjadi penguasa, sebagaimana lafaz yang disebut Allah dalam firman-Nya yang bermaksud;

 

"Wahai Tuhan, Sesungguh Tuan Hamba telah menganugerahi kekuasaan kepada hamba dan telah mengajar hamba ilmu mentakwil al-hadis. Tuan Hambalah yang menjadikan langit serta bumi, Tuan Hambalah Penguasa ke atas hamba di dunia dan di akhirat, wafatkan hamba sebagai seorang muslim dan masukkan hamba bersama golongan solihin". (Surah Yusuf, ayat 101).

 

Semoga kita mampu menjadi "syuhada" kepada manusia lain kerana keteguhan iman, keikhlasan niat dan kesungguhan penghayatan terhadap agama Islam.