Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Al-Kaafiruun [109:1] Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Al-Kaafiruun [109:2] Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Al-Kaafiruun [109:3] Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Al-Kaafiruun [109:4] Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Al-Kaafiruun [109:5] Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. Al-Kaafiruun [109:6]
SELESAILAH sudah Seminar Khas PAS 2009 yang menyaksikan para peserta yang berucap jitu memberi komitmen kepada PAS sebagai parti gerakan Islam. Antara yang ditekankan oleh para peserta termasuklah peri pentingnya PAS bertindak sebagai gerakan Islam dan bukan hanya sebagai sebuah parti politik.
Gerakan tarbiah perlu dipertingkatkan di semua peringkat dan terus dibawa kepada rakyat. Dengan perkataan lain, para peserta antara lainnya mengharapkan para aktivis PAS benar-benar menghayati Islam dan membawanya ke tengah masyarakat.
Al-Quran dalam surah Al-Kafirun sebagaimana di atas memberi satu penegasan kepada penganut Islam bahawa dalam beragama, tiada kompromi berkaitan aqidah. Dalam pada itu, sebagai usaha membawa Islam kepada maysarakat terdapat pelbagai kaedah dakwah yang perlu dipelajari dan difahami agar dapat dihayati seterusnya dapat dimenifestasikan.
Toleransi dalam Islam misalnya begitu halus dan lunak hinggakan orang bukan Islam mungkin saja tertarik kepada Islam lebih-lebih lagi bilamana kebijaksanaan dipraktikkan dalam menampilkan Islam kepada semua. Dalam isu memeluk Islam sebagai contoh, Islam sekali-kali tidak memisahkan individu yang memeluk Islam itu dari keluarga asalnya. Bahkan Islam menuntut untuk individu yang memeluk Islam itu untuk terus mendampingi keluarga dan jika mempunyai ibu dan bapa wajiplah memberi ketaat kepada kedua-dua orang tuanya selagi beliau tidak disuruh mensyirikkan atau mempersekutukan Allah S.W.T.
Dalam hal memeluk Islam inilah, saya sedikit tertanya-tanya di manakah kesungguhan PAS sebagai gerakan Islam (bukan sekadar parti Islam). Dalam menangani isu yang timbul. jika diteliti, amat perlu pembabitan PAS dalam memerhati, merancang dan mengadakan satu kerangka perlaksanaan agar hukum-hukum Islam tidak dilihat sebagai menyusahkan atau menyakitkan.
Perbincangan tentang penjagaan anak-anak merupakan antara isu yang seringkali timbul bilamana berlakunya tindakan memeluk Islam. Tanpa kebijaksanaan dalam menanganinya, mereka yang bukan Islam mungkin saja berasa kurang senang. Walhal hukum Islam cukup toleran dalam menghadapi hal-hal sedemikian. Untuk rujukan, boleh baca ulasan yang bertajuk Status Agama Anak Selepas Salah Seorang Ibu Atau Bapa Memeluk Agama Islam
Selain itu, isu perundangan yang membelenggu mereka yang terlibat turut perlu dihalusi. Sebagai perinciannya, boleh saja telusuri artikel bertajuk Moving forward to strengthen the position of Islam UNDER the Federal Constitution.
Betapa isu perundangan ini wajip dihadapi dengan bijaksana kita boleh memahaminya secara objektif pandangan-pandangan berbeza yang dipaparkan dalam penulisan convert to Islam and problem dan juga Law reforms needed convert to Islam and solutions.
Tentu sekali bagi mengurai segala kekusutan yang ada, komitmen semua pihak perlulah ditagih dan usaha keringat tanpa mengenal jemu haruslah dilakukan. Di sinilah saya merasakan bahawa PAS sebagai gerakan islam tidak boleh tidak untuk terlibat secara langsung dan bijaksana agar indahnya Islam itu dapat dirasai oleh semua. 20 Dzulkaedah 1430H.
0 comments:
Post a Comment