SEJENAK di Bukit Gantang di waktu pengakhiran hari pencalonan kelmarin begitu nostalgia. Setelah sekalian lama perancangan untuk bertemu kenalan dan sahabat lama, Menteri Besar rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, akhirnya berjaya diatur. Saya dan rakan-rakan sempat bersolat maghrib dijamakkan dengan isyak di Batu 11 yang merupakan sempadan parlimen Bukit Gantang.
Setelah Nizar kami hubungi, temujanji ditetapkan untuk kami bertemu di Cangkat Ibol di mana beliau dijadualkan ke situ dalam rangka program menziarahi jentera pilihanraya Pakatan Rakyat.
Sebaik tiba di Cangkat Ibul, rombongan kami tidak semena-mena disambut oleh para pengiring calon Pakatan Rakyat tersebut. Betapa kami rasa terharu atas ikatan silatulrahim yang didorong semangat jihad di jalan Allah itu.
Setelah menjamu selera nasi minyak yang dihidangkan secara bertalam, kami saling bertanya khabar dengan sahabat yang kami kenali sekian lama itu. Dalam ceramah ringkasnya, Nizar sempat bercerita betapa perancangan Allah mengatasi segalanya.
Ketika bersolat maghrib (pada hari kelmarin), beliau telah diminta oleh imam muda Masjid Simpang untuk mengimami solat maghrib dan seterusnya mengetuai bacaan Yasin.
"Turut menjadi makmum dalam solat tersebut ialah calon Barisan National, Ismail Saffian, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan YB Dato' Dr Zambry Kadir" beliau menceritakan.
Indah bukan? Setiap doa yang dilafazkan Nizar memohon penyatuan umat Islam, memohon pertolongan Allah kepada gerakan Islam, memohon memenangkan gerakan Islam dan sebagainya diaminkan oleh para pimpinan negara dan negeri dari pelbagai peringkat.
Cumanya ketika Nizar diminta untuk menyampaikan tazkirah beliau memaklumkan, "Bila imam muda minta saya mentafsirkan ayat yang saya baca pada rakaat pertama (solat maghrib), saya telah dihalang untuk bergerak ke hadapan dan saya akur dengan kehendak mereka yang menghalang tersebut demi untuk memelihara suasana".
Ayat yang Nizar maksudkan ialah dari surah Aali Imran ayat 102-103 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam".
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya".
Setelah Nizar selesai menyampaikan amanatnya kepada jenteran di Cangkat Ibul tersebut, kami bermohon untuk berpisah dengan beliau hingga ke satu masa yang Allah jualah maha mengetahuinya. Kepada mereka yang mengundi di Bukit Gantang, memangkahlah hanya kerana Allah semata-mata. 3 Rabi'ul Akhir 1430H.
0 comments:
Post a Comment