Kaedah yang saya maksudkan itu ialah “private financing initiative” atau PFI. PFI ini adalah suatu kaedah di mana peranan kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam ditawarkan kepada pihak swasta untuk dilaksanakan. Ini bukan prinsip kapitalis. Ia adalah antara kaedah perkongsian tanggungjawab antara sector awam
dan swasta.
PFI sebenarnya adalah kaedah yang diubahsuai dari suatu kaedah yang disebut sebagai Public-Private Partnerships atau PPP. Melalui kaedah ini, sector awam memberi laluan untuk sesuatu kemudahan awam disempurnakan oleh pihak swasta. Dalam kaedah ini, keuntungan kepada pihak swasta sebagai pelaksana bukanlah ukuran ataupun motif utama.
Pihak swasta dalam kaedah ini berfungsi sebagai pelaksana projek dengan menggunakan sumber kewangan sendiri. Berbeza dengan kaedah konvensyenal, kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan dalam menjayakan projek yang dirancang. Dengan kata-kata lain, kaedah PFI atau PPP ini jika dilaksanakan, dalam menyediakan kemudahan awam, kantung kerajaan tidak dirobik.
Sebagai contoh, bagi membina lebuhraya dari Kota Bharu ke Gua Musang, jika projek ini dikatagorikan sebagai projek PFI, pihak swasta perlu mempunyai sumber kewangan sendiri bagi membiayai projek tersebut. Pihak kerajaan tidak seharusnya pening kepala memikirkan sumber kewangan lantas menjadikan projek tersebut tertangguh atau sebagainya.
Setelah lebuhraya siap, barulah kerajaan secara pembayaran bertahap membuat pembayaran kepada pihak swasta terbabit. Dalam hal ini, kerajaan bolehlah membenarkan pelaksana membuat kutipan tol atau peruntukan dari perbendaharaan dikeluarkan. Jika peruntukan perbendaharaan dikeluar sekalipun, kerajaan boleh membuat pembayaran tersebut secara ansuran yang mungkin boleh menjangkau 30 tahun lamanya.
Dalam kaedah ini, duit awam tidak akan digunakan secara sekaligus dalam jumlah yang besar.
Antara kebaikan kaedah PFI ini selain ianya mendorong perbelanjaan yang lebih menguntungkan kerajaan dan rakyat, pihak swasta sebagai pelaksana akan membuat kajian yang lebih terperinci perihal manfaat sebenar projek tersebut.
Pastinya bagus projek sedemikian bukan? Di sini ingin saya paparkan satu lagi ciptaan struktur PPP yang boleh dilaksanakan.
Dalam ciptaan ini, pelaksanaannya bukan sekadar menjadikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemah malah ia dapat membantu melepaskan rakyat dari bebanan pelbagai hutang. Saya terpanggil membuat penilitian bilamana kerajaan mengumumkan tempoh pinjaman kepada kakitangan awam dilanjutkan dari 25 tahun kini kepada 30 tahun.
Kemudahan ini tentunya akan memberi lebih kuasa membeli kepada kakitangan awam terlibat bilamana jumlah bayaran bulanan kepada perbendaharaan akan mengecil. Itu bagus!
Bagaimana jika ciptaan struktur inidibuat:
1. Kerajaan membentuk satu antiti sebagai pelaksana bagi menyediakan kemudahan rumah kepada orang awam terutamanya kakitangan kerajaan.
2. Antiti tersebut perlu membina sejumlah unit rumah yang diperlukan oleh kakitangan awam.
3. Dalam masa yang sama, kerajaan tidak membuat pembayaran berperingkat kepada antiti pelaksana sebagaimana diamalkan sekarang.
4. Setelah rumah siap dibina, kakitangan yang layak akan diberi hak mendiami rumah tersebut.
5. Sebaik mendiami rumah tersebut, potongan gaji kakitangan terbabit akan dibuat sebagai bayaran sewa kepada Antiti pelaksana.
6. Sewaan bulanan tersebut akan dibuat melalui potongan gaji untuk satu tempoh tertentu sesuai dengan harga rumah dibina.
Dengan ciptaan ini, jom kita ambil contoh seorang guru yang membeli rumah dengan pembiayaan perbendaharaan.
Apa yang berlaku sekarang, kerajaan akan membuat pembayaran secara berperingkat atau sekaligus kepada syarikat yang menjual rumah kepada guru terbabit. Ini bergantung kepada rumah itu sama ada dalam pembinaan ataupun telah siap dibina.
Setelah keseluruhan bayaran disempurnakan oleh kerajaan dan rumah siap dibina, guru terlibat akan mula mendiami rumah barunya. Setelah itu, potongan gaji akan dibuat sebagai bayaran balik kepada kerajaan terhadap bayaran yang telah dibuat kepada syarikat yang menjual rumah yang didiami.
Perbezaan kaedah sedia ada dengan ciptaan baru ini seperti berikut:
Pertama.
Kaedah sekarang : kerajaan terpaksa membuat pembayaran kepada syarikat yang menjual rumah kepada kakitangan awam.
Kaedah ciptaan: kerajaan tidak perlu membuat bayaran kepada Antiti pelaksana, rumah tetap boleh didiami bilamana Antiti pelaksana perlu menyiapkannya dengan sumber kewangan sendiri.
Kedua:
Kaedah sekarang: kakitangan yang berhutang dengan kerajaan perlu membuat bayaran bulanan kepada perbendaharaan.
Kaedah ciptaan: kakitangan terlibat tidaklah berhutang sebaliknya perlu membuat bayaran sewa bulanan kepada Antiti pelaksana melalui potongan gaji.
Bagus bukan! Dua keuntungan dan manfaat besar:-
Pertamanya tiada keperluan untuk kerajaan menyediakan dana yang besar bagi menampung keperluan pembiayaan kediaman kepada kakitangan awam.
Keduanya, kakitangan awam tidak lagi berhutang bagi memiliki rumah kediaman.
Ciptaan yang berasaskan prinsip PPP ini bukanlah angan-angan Mat Jenin atau impian lebai malang. Ia adalah suatu rialiti yang boleh dijelmakan dengan pelbagai sokongan kemudahan yang ada pada hari ini. Bagaimana caranya? Itu memerlukan pisang sesikat dan pengeras-pengeras lainnya. – Mohammad Faizal Che Yusof.