Adalah menjadi impian yang berbunga di hati orang kurang upaya bilamana rang undang-undang orang kurang upaya 2007 dibentangkan dan diluluskan oleh parlimen.
Rang undang-undang tersebut yang kini dikenali sebagai Akta Orang Kurang Upaya 2007 dijangkakan akan diwartakan Julai ini. Sama-samalah kita doakan agar pewartaan tersebut dapat dijalankan dengan kadar yang segera.
Jika ditanya apakah akta tersebut mampu memberi suatu anjakan yang lebih baik buat oku? Saya berpendapat ya. Dengan komitmen semua pihak yang terlibat, hak oku akan terus terbela.
Suatu yang perlu disedari, akta ini dilahirkan setelah mengambilkira Konvensyen Orang Kurang Upaya di peringkat antarabangsa yang mana negara telah menandatangani pada 8 April yang lalu.
Mari kita teliti serba ringkas intipati akta tersebut.
Seksyen 2 akta tersebut telah mendifinasikan beberapa perkara berikut;
"orang kurang upaya" termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat;
Suatu pentafsiran yang boleh dikatakan sebagai pentafsiran meluas telah diberikan kepada orang kurang upaya. Jika diteliti, pentafsiran ini menggambarkan betapa perlunya suatu alatan bantu atau sokongan disediakan bagi menjadikan ketidak upayaan itu bukan halangan kepada seseorang oku untuk melakukan apa jua aktiviti dan pekerjaan.
Akta tersebut juga telah melahirkan suatu majlis yang mana menurut Seksyen 2 disebut sebagai:
"Majlis" ertinya Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;
Akta ini jika dihalusi keseluruhannya, ia tidaklah memperuntukkan sebarang remedi atau pampasan kepada apa jua kehilangan atau penjejasan yang dialami oleh oku. Dengan kata lain, akta tersebut lebih bersifat sebagai suatu dasar kepada pencetusan perundangan dan peraturan bagi meletakkan oku sebagai warga negara yang berbakti.
Melalui akta tersebut, suatu majlis seperti yang disebutkan di atas akan dilahirkan yang mana Majlis ini akan bertindak sebagai badan induk yang memelihara kepentingan oku dalam negara. Sejauhmanakah kuasa Majlis tersebut?
Dari sejumlah 19 orang ahli majlis yang diperuntukkan dalam Seksyen 3, 10 orang adalah mereka yang boleh dilantik oleh menteri sebagaimana dinyatakan di bawah ini:
3. (2) Majlis hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut:
(j) tidak lebih daripada sepuluh orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai dalam permasalahan dan isu yang berhubungan dengan orang kurang upaya yang hendaklah dilantik oleh Menteri.
10 orang tersebut mungkin saja terdiri dari mereka yang bukan oku atau oku. Apa yang penting, mereka terdiri dari individu yang berkemampuan dalam menangani isu-isu dan permasalahan oku.
Seksyen 9 telah megalurkan fungsi-fungsi utama Majlis seperti di bawah:
(a, untuk menyelia pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan orang kurang upaya;
(b) untuk membuat syor kepada Kerajaan mengenai semua aspek orang kurang upaya termasuk perkara-perkara yang berhubungan dengan sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan orang kurang upaya;
(c) untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan orang kurang upaya dengan kementerian, agensi, badan atau pertubuhan kerajaan dan sektor swasta yang berkaitan;
(d) untuk memantau dan menilai kesan dasar, program dan aktiviti yang dirancang untuk mencapai penyertaan penuh dan berkesan orang kurang upaya dan dalam berbuat demikian boleh membuat apa-apa perkiraan dengan kementerian, agensi, badan atau pertubuhan kerajaan dan sektor swasta yang berkaitan sebagaimana yang difikirkannya perlu;
(e) untuk mengkaji semula aktiviti semua kementerian, agensi, badan atau pertubuhan kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan orang kurang upaya;
(f) untuk mengesyorkan kepada Kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga untuk mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh dan berkesan orang kurang upaya dalam masyarakat, termasuk untuk memudahkan kebolehaksesan;
(g) untuk membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat dan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, termasuk pada peringkat keluarga, berhubung dengan orang kurang upaya termasuk keupayaan dan sumbangan mereka bagi menggalakkan tanggapan positif dan kesedaran sosial yang tinggi serta memupuk rasa hormat kepada hak dan maruah orang kurang upaya;
(h) untuk menerima pakai langkah yang berkesan dan sesuai bagi menggalakkan pengiktirafan kemahiran, merit dan kebolehan orang kurang upaya, dan sumbangan mereka di tempat kerja dan pasaran buruh;
(i) untuk memupuk sikap menghormati hak orang kurang upaya pada semua peringkat sistem pendidikan, termasuk pada peringkat awal kanak-kanak;
(j) untuk menasihati Kerajaan mengenai isu ketidakupayaan termasuk perkembangan di peringkat antarabangsa;
(k) untuk mengumpul dan mengumpul semak data dan maklumat, dan menjalankan serta menggalakkan penyelidikan yang berhubungan dengan orang kurang upaya;
(l) untuk menggalakkan pembangunan latihan awal dan berterusan bagi golongan profesional dan kakitangan yang bekerja dalam perkhidmatan habilitasi dan rehabilitasi;
(m) untuk menggalakkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya bagi orang kurang upaya dalam pasaran buruh, dan juga bantuan dalam mencari atau mendapatkan pekerjaan atas asas keserataan dengan orang upaya; dan
(n) untuk melaksanakan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri bagi pelaksanaan sewajarnya Akta ini. .
Secara ringkasnya, Majlis tersebut berupaya secara perundangan atau berkuasa meneliti dasar negara, pelan induk negara, undang-undang dan peraturan, penguatkuasaan, serta apa saja berkaitan dengan oku. Jika didapati atau difikirkan perkara-perkara terbabit tidak bertepatan atau tidak dilaksanakan bagi kepentingan oku oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan, agensi-agensi kerajaan, kementerian atau jabatan, serta lain-lain unit masyarakat, Majlis mempunyai kuasa untuk memastikan ianmya berfungsi bagi manfaat oku.
Kuasa Majlis ini dikuatkan lagi dengan peruntukan berikut:
(3) Majlis hendaklah mempunyai segala kuasa sebagaimana yang perlu bagi, atau yang berkaitan dengan, atau yang bersampingan dengan, pelaksanaan fungsinya di bawah Akta ini.
Pendek kata, Majlis mempunyai kuasa yang luas untuk memastikan kesejahteraan oku terbela sewajarnya. Maka sangatlah mustahak mereka yang berada dalam majlis tersebut mengetahui secukupnya keperluan oku di segenap peringkat dan tempat.
Nah rakan oku sekalian, kini perahu telah di air dan dayung di tangan. Gunakanlah kesempatan dan ruang dengan sebaiknya untuk kebaikan bersama. Tidak salah rasanya jika perkara-perkara berikut ditimbang-timbangkan:
1. Mengkaji sebarang dasar dan perundangan bagi manfaat oku dari aspek penggubalan dan penguatkuasaan.
2Penyatuan suara dalam membuat sebarang tuntutan dari pihak berkuasa bak kata pepatah, sebatang lidi mudah dipatahkan tetapi tidak pada seberkas lidi.
3. Keperluan oku yang pelbagai di segenap peringkat dan rantau ceruk negara lantas cadangan penyelesaian kepada sebarang keperluan yang berlum tercapai dapat dikemukakan.
Semoga ringkasan penulisan ini dapat dijadikan buah tangan dibawa pulang untuk direnung dan dikupas agar manis isinya dapat dikecap. - Mohammad Faizal Che Yusof